WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AKPS Tahan 11 Kontena Sisa Elektronik, Buangan Terjadual Di Pelabuhan Klang

30/03/2026 09:48 PM

SHAH ALAM, 30 Mac (Bernama) -- Pasukan Petugas Bersama (JTF) E-sisa Pelabuhan Klang menahan 11 kontena berisi 242 tan sisa elektronik dan bahan buangan terjadual dalam Ops Green Shield ke-18, pagi tadi.

Timbalan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang Wan Fazli Wan Hamat berkata daripada jumlah itu, 10 kontena mengandungi 219 tan e-sisa manakala sebuah lagi berisi 23 tan bahan buangan terjadual kategori SW422.

“Kesemua kemasukan bahan buangan ini adalah dilarang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap pihak yang melanggarnya.

“Kontena yang ditahan akan ditempatkan di kawasan selamat sementara menunggu proses eksport semula mengikut prosedur ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Fazli berkata rampasan itu membuktikan kesungguhan pihak berkuasa untuk menghalang kemasukan sisa terlarang ke dalam negara dan AKPS akan terus memperketat kawalan di semua pintu masuk, termasuk pelabuhan utama bagi melindungi kedaulatan dan kepentingan negara.

Operasi bersepadu berkenaan mendapat kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), SIRIM serta Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan