WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Akta Pekerja Gig 2025 Jamin Perlindungan Lebih Menyeluruh Kepada 1.64 Juta Individu

31/03/2026 05:19 PM

PUTRAJAYA, 31 Mac (Bernama) -- Penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang berkuat kuasa secara rasmi hari ini bakal memberi manfaat kepada kira-kira 1.64 juta individu yang terlibat dalam sektor ekonomi gig di negara ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata pencapaian bersejarah itu meletakkan Malaysia sebagai antara negara di Asia yang mendahului usaha memperkenalkan perundangan perburuhan khusus bagi melindungi pekerja gig secara komprehensif.

"Akta ini hadir pada saat landskap pekerjaan sedang berubah sebagai tanda komitmen kita untuk membela nasib dan masa depan mereka yang selama ini menjadi tulang belakang ekonomi digital negara," katanya pada sidang media sempena pengumuman penguatkuasaan akta tersebut di Menara Perkeso, di sini, hari ini.

Beliau berkata ia mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan kemajuan ekonomi digital bergerak seiring dengan perlindungan pekerja, sekali gus menjadikan Malaysia model rujukan bagi pembangunan ekosistem ekonomi gig yang lebih adil dan mampan.

Melalui Akta 872 ini, katanya, pekerja gig kini mempunyai perlindungan perundangan yang lebih jelas termasuk ketelusan perjanjian perkhidmatan, kadar pendapatan yang dipersetujui, larangan diskriminasi, perlindungan keselamatan sosial melalui PERKESO, serta perlindungan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Ramanan berkata di bawah akta baharu itu, takrifan pekerja gig merujuk kepada warganegara atau pemastautin tetap Malaysia yang membuat perjanjian dengan entiti kontrak dan menerima bayaran bagi setiap perkhidmatan yang diberikan.

“Akta tersebut bukan sahaja merangkumi pekerja platform seperti pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing, malah turut melindungi pekerja gig tanpa platform termasuk dalam sektor perfileman, muzik, terjemahan dan kewartawanan,” katanya.

Bagaimanapun beliau menyangkal dakwaan di media sosial yang mendakwa pekerja asing turut dilindungi di bawah akta berkenaan dengan menegaskan pekerja asing tidak termasuk di bawah akta tersebut.

Ramanan juga memberi jaminan bahawa selepas akta ini dikuatkuasakan, pekerja gig akan kekal bekerja secara fleksibel dan perundangan ini tidak akan mengganggu ekosistem gig itu sendiri.

Mengenai keselamatan sosial, beliau berkata, penyedia platform perlu bertanggungjawab memastikan pendaftaran pekerja di bawah Akta 789 serta membuat potongan caruman automatik Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Lindung Kendiri) sebanyak 1.25 peratus daripada pendapatan tugasan harian tanpa mengganggu tips atau ganjaran.

Selain itu, katanya, akta itu juga menyediakan mekanisme penyelesaian pertikaian yang lebih teratur melalui Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) serta Tribunal Pekerja Gig. 

“Sekiranya pertikaian tidak dapat diselesaikan di peringkat pendamaian, mereka akan dirujuk ke Tribunal Pekerja Gig yang akan berfungsi untuk menjalankan prosiding bagi memastikan pertikaian dapat diselesaikan secara profesional, bebas daripada pengaruh luar dan berdasarkan merit fakta serta undang-undang,” katanya. 

Mengenai isu penggantungan akaun pekerja, beliau berkata, penyedia platform wajib memberikan notis bertulis dengan had tempoh nyahaktif tidak melebihi 14 hari bagi tujuan siasatan.

“Sekiranya didapati tidak bersalah, akaun pekerja mesti diaktifkan semula dan mereka layak dibayar 50 peratus daripada pendapatan jangkaan bagi tempoh nyahaktif tersebut,” katanya. 

Selaras dengan penguatkuasaan akta itu, Kementerian Sumber Manusia turut memperkenalkan sistem eAduan gig Kementerian Sumber Manusia yang boleh diakses bermula esok (1 April) melalui pautan https://eaduan-gig.mohr.gov.my/ bagi membolehkan pekerja menyalurkan aduan berkaitan isu gig. 

Ramanan berkata, kementerian itu menyasarkan penyelesaian aduan dalam tempoh maksimum 21 hari bekerja tertakluk kepada kerumitan kes, selain membolehkan aduan dibuat secara fizikal di mana-mana agensi di bawah kementerian selaras dasar 'No Wrong Door Policy'.

Bagi memperkukuh tadbir urus sektor tersebut, beliau berkata seramai 26 anggota dilantik menganggotai Majlis Perundingan Gig (MPGIG), dengan mesyuarat pertama berlangsung pada 3 April ini yang antara lain membincangkan kadar pendapatan pekerja gig bagi mencapai penyelesaian tuntas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan