KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Pengarah Operasi Bersepadu Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) di Jabatan Perdana Menteri, ACP Annas Sulaiman dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Wangsa Maju yang baharu, berkuat kuasa hari ini.
Beliau mengambil alih tugas tersebut daripada SAC Mohamad Lazim Ismail yang kini dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman.
Majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas tersebut berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini dengan disaksikan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus.
Fadil dalam ucapannya menzahirkan keyakinan terhadap kredibiliti Annas berdasarkan pengalamannya sebelum ini.
Beliau berkata tugas sebagai Ketua Polis Daerah bukanlah satu tanggungjawab ringan, apatah lagi dalam mendepani cabaran semasa serta trend jenayah yang semakin kompleks.
"Namun begitu, dengan kepimpinan yang mantap serta semangat 'esprit de corps' dalam kalangan pegawai dan anggota, saya yakin setiap cabaran mampu diharungi dengan jaya.
"Sehubungan itu, saya menyeru seluruh warga IPD Wangsa Maju untuk memberikan sokongan kepada Annas selaku Ketua Polis Daerah Wangsa Maju yang baharu dalam meneruskan agenda kecemerlangan pasukan," katanya.
Sementara itu, Fadil turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mohamad Lazim atas khidmat bakti dan komitmen tinggi beliau sepanjang menerajui IPD Wangsa Maju.
Beliau berkata di bawah pimpinan Mohamad Lazim, pelbagai kejayaan dicapai membuktikan integriti serta rasa tanggungjawab yang utuh dalam memikul amanah.
"Saya percaya banyak usaha, inisiatif dan komitmen yang Tuan telah berikan bagi mengukuhkan sistem komuniti, perancangan keselamatan dan kesejahteraan program Polis Kuala Lumpur, terutamanya di kawasan setempat Wangsa Maju," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial