GEORGE TOWN, 1 April (Bernama) -- Sebuah bengkel di Kompleks Makanan Jalan Dato Keramat, di sini musnah dalam kebakaran hari ini, yang turut melibatkan sebuah kereta dan 10 motosikal.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata dalam kejadian kira-kira 2.51 petang itu, struktur bengkel sementara berkeluasan 74.32 meter persegi terbakar dengan cepat sebelum berjaya dikawal.
"Kami menerima panggilan kecemasan pada 2.51 petang sebelum sepasukan bomba terus ke lokasi kebakaran.
"Kebakaran itu turut menyebabkan sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback musnah hampir 90 peratus, manakala 10 motosikal turut terbakar antara 10 hingga 90 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kebakaran itu berjaya dikawal pada 3 petang daripada merebak di kawasan tersebut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 4.12 petang selepas kerja-kerja overhaul selesai dijalankan.
John Sagun berkata tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu, sementara punca kebakaran dan jumlah keseluruhan kerugian masih dalam siasatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial