KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan keterjaminan bekalan domestik selain mempercepat usaha meningkatkan pengeluaran minyak mentah.
Naib Presiden Pembangunan Huluan Mohd Nazlee Rasol berkata Petronas selaku sebuah syarikat minyak dan gas negara, akan turut memastikan aspek keterjaminan bekalan terus menjadi keutamaan dengan tumpuan libat urus ketika ini merangkumi usaha mengenal pasti kaedah pantas untuk meningkatkan output atau pengeluaran.
Sehubungan itu, Petronas sedang berbincang dengan penyedia pekhidmatan, termasuk Weatherford mengenai teknologi serta inisiatif yang dapat meningkatkan pengeluaran minyak dan gas.
Beliau berkata demikian pada sesi perbincangan panel “Accelerating Development for Energy Security: Fast-Tracking Field Strategies in a Volatile World” atau “Mempercepat Pembangunan bagi Keterjaminan Tenaga: Strategi Pantas di Lapangan dalam Dunia Tidak Menentu” acara Offshore Technology Conference Asia (OTC Asia) di sini, hari ini.
Menjelaskan selanjutnya, Mohd Nazlee berkata Petronas juga telah membentuk satu pasukan petugas khas bagi meneliti pendekatan melonjakkan pengeluaran dan sebarang usaha tambahan seumpamanya dapat memastikan bekalan berterusan kepada fasiliti loji penapisan.
“Bagi gas pula, di Sarawak misalnya, kami mempunyai bekalan gas yang banyak selain portfolio. Apa yang pasti, apa juga yang berlaku di Asia Barat akan memberi impak ke atas sebahagian daripada portfolio ini.
“Kami juga sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa terbabit untuk melihat bagaimana dapat meningkatkan aspek keterjaminan bekalan agar Malaysia tidak terjejas,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial