KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri bersama pegawai wanita daripada pelbagai persatuan di Istana Negara di sini, hari ini.
Majlis yang berlangsung di Dewan Santapan Utama itu juga dihadiri isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Majlis yang menghimpunkan kira-kira 450 tetamu termasuk pegawai wanita daripada pelbagai persatuan itu berlangsung meriah dengan pengisian yang menonjolkan peranan penting wanita dalam pembangunan negara.
Majlis itu melibatkan penyertaan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita), Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat), Persatuan Keluarga Polis (Perkep), Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bomba dan Penyelamat (Perisma) serta Persatuan Isteri, Anak dan Anggota serta Kakitangan Wanita Penjara Malaysia (Persiap).
Majlis berkenaan dimulakan dengan Seri Paduka Baginda meluangkan masa kira-kira 15 minit melawat reruai Bakat, Perkep, Perisma, Puspanita dan Persiap.
Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri itu diserikan dengan persembahan daripada Kombo Badan Kesenian Tentera Darat, Yayasan Warisan Johor serta kumpulan kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).
Majlis turut menampilkan artis ternama tanah air, Anuar Zain dan Dayang Nurfaizah.
Antara juadah disajikan pada majlis itu termasuklah nasi beriani, kambing golek, laksa Johor, lemang, ketupat, mi rebus serta aneka kuih-muih dan minuman.
Hadirin turut dihiburkan dengan persembahan zapin termasuk Zapin Lambak dan Zapin Bunga Hutan yang mengangkat keindahan warisan budaya Melayu Johor.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial