WILAYAH - TIMUR > BERITA

Kemarau: Penduduk Bina Telaga Tiub Atasi Masalah Air Di Pasir Mas

03/04/2026 12:01 PM

PASIR MAS, 3 April (Bernama) -- Gangguan bekalan air yang berlarutan sejak beberapa bulan lepas menyebabkan sesetengah penduduk di Kampung Banggol Tok Mokyong di sini terpaksa mencari alternatif sendiri dengan menggali telaga tiub secara manual.

Penduduk, Ariffin Ismail, 64, berkata kos mengupah kontraktor untuk membina telaga tiub (boring) bagi mendapatkan sumber air bersih agak tinggi iaitu sekitar RM5,000 hingga RM10,000. 

Ini membuatkan golongan berpendapatan rendah seperti dirinya terpaksa berusaha menggunakan tenaga sendiri bagi menjimatkan kos.

"Kadang-kadang dua hingga tiga hari langsung tiada bekalan air hingga terpaksa mandi di sungai, manakala air minuman pula perlu dibeli di kedai," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Bercerita lanjut, Ariffin berkata proses pembinaan telaga tiub yang dilakukan adalah memasukkan batang paip dengan cara mengetuk ke dalam tanah hingga mencecah lapisan pasir bagi membolehkan air bersih keluar.

"Biasanya paip dimasukkan sedalam kira-kira 6 meter dan pada kedalaman sekitar 9 meter, air sudah boleh diperoleh. Kalau tanah keras memang sukar tetapi jika tanah liat kerja lebih mudah," katanya yang turut dibantu isteri, Surani Daud, 48.

Beliau berkata upah pembinaan telaga tiub dianggarkan sekitar RM25 sekaki, namun kualiti air yang diperoleh tidak dapat dijamin.

"Kami buat semua ini sekadar untuk dapatkan air dahulu, soal bersih atau tidak itu perkara kedua kerana keutamaan sekarang ialah kelangsungan hidup untuk dapatkan sumber air. Masalah sama juga dilaporkan berlaku di kawasan berhampiran, termasuk Kampung Tersang dan Tok Deh," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan