WILAYAH - SARAWAK > BERITA

76 Individu Terima Watikah Lantikan Tribunal Pekerja Gig, Majlis Perundingan Gig

03/04/2026 01:34 PM

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Seramai 76 individu hari ini menerima watikah lantikan bagi menganggotai Tribunal Pekerja Gig (TPG) dan Majlis Perundingan Gig (MPGig) sebagai langkah memperkukuh pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 yang berkuat kuasa 31 Mac lepas.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata pelantikan bagi TPG melibatkan 22 Pengerusi Mahkamah Perusahaan yang dilantik sebagai presiden, timbalan presiden dan anggota tribunal secara interim serta 28 pegawai perhubungan perusahaan yang berpengalaman dalam undang-undang buruh.

Beliau berkata penubuhan TPG merupakan antara komponen utama pelaksanaan akta berkenaan yang berfungsi sebagai platform penyelesaian pertikaian kontrak secara adil, pantas dan kos efektif.

“Tribunal ini mempunyai bidang kuasa untuk mendengar, menjadi perantara serta membuat keputusan terhadap pertikaian antara pekerja gig dan entiti kontrak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Watikah dan Sijil Pelantikan anggota TPG dan MPGig, di sini hari ini.

Mengenai MPGig yang dianggotai 26 ahli dilantik bermula 1 April lepas, Ramanan berkata majlis itu berperanan sebagai platform rundingan antara kerajaan, pekerja gig dan entiti kontrak bagi menasihati serta mencadangkan dasar berkaitan sektor berkenaan.

Ramanan berkata antara perkara utama yang dibincangkan pada mesyuarat majlis itu hari ini termasuk cadangan kadar pendapatan minimum atau floor price bagi pekerja gig melalui keputusan bersama antara kerajaan, pekerja dan entiti kontrak.

Beliau berkata majlis itu juga akan menjalankan analisis, kajian serta pengumpulan data bagi memastikan setiap keputusan dibuat berasaskan maklumat dan realiti industri semasa.

“Langkah penubuhan TPG dan MPGig merupakan sebahagian daripada pelaksanaan akta berkenaan yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 1.64 juta pekerja gig di seluruh negara.

“Ini merupakan satu hari yang amat bermakna kerana Malaysia antara negara terawal di Asia yang memperkenalkan undang-undang khas untuk melindungi pekerja gig secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata langkah itu mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan pekerja dalam ekonomi gig mendapat perlindungan sewajarnya selaras dengan perubahan landskap pekerjaan kini.

Sementara itu, beliau menafikan dakwaan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bahawa tiada sesi libat urus diadakan sebelum penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025, sebaliknya memaklumkan hampir 400 sesi libat urus diadakan dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk wakil MTUC, antara Oktober 2024 hingga Ogos 2025.

“Jika tiada sesi libat urus, tidak mungkin pelbagai pihak termasuk pemilik platform, persatuan industri serta wakil pekerja gig terlibat dalam proses ini (penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025),” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan