KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Hukuman sedia ada bagi kesalahan kemalangan jalan raya melibatkan pemandu mabuk perlu dinilai semula supaya mampu memberi pengajaran dan impak pencegahan yang lebih berkesan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata peruntukan semasa bagi kesalahan berkaitan Kemalangan Jalan Raya (RTA) masih dianggap rendah dan tidak menyampaikan mesej amaran yang tegas kepada masyarakat.
"Dari perspektif undang-undang, hukuman untuk kesalahan melibatkan kemalangan jalan raya masih agak ringan. Kita perlu lihat semula undang-undang ini dan mungkin buat pindaan supaya ia jelas menyatakan perbuatan tersebut adalah kesalahan serius dengan denda setimpal.
"Kalau pelaku tengok denda itu rendah, dia rasa boleh bayar. Kementerian berkaitan perlu meneliti semula akta sedia ada bagi memohon pindaan hukuman yang lebih berat dan setimpal, namun perkara ini tertakluk kepada kementerian berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada persidangan Persatuan Pendidikan Undang-Undang Komanwel (CLEA) di sini, hari ini.
Azalina berkata kesedaran rakyat untuk tidak melakukan kesalahan kadangkala perlu dipupuk menerusi peruntukan undang-undang yang lebih tegas bagi menimbulkan rasa gerun.
"Pada saya, mungkin rakyat Malaysia kena tengok hukuman itu (berat), baru dia macam (rasa) was-was (gerun). Sebab kalau tidak, mungkin dia rasa boleh (bayar saman atau denda). Kalau kata (denda) RM50,000 boleh dapat diskaun RM20,000. Mungkin itu (pandangan masyarakat),"
Azalina berkata demikian ketika diminta mengulas kes kemalangan maut di Klang, Selangor melibatkan pemandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol yang mengorbankan penunggang motosikal, Amirul Hafiz Omar, 33, dalam kejadian pada 29 Mac lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial