TOKYO, 3 April (Bernama-Kyodo) -- Kabinet Jepun meluluskan perubahan dasar beras negara itu pada Jumaat dengan beralih kepada strategi pengeluaran yang sejajar dengan permintaan, serta memperkenalkan langkah baharu bagi mencegah kekurangan bekalan, ketika harga makanan ruji itu meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, lapor Kyodo News.
Kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Sanae Takaichi merancang untuk membentangkan rang undang-undang kepada Diet pada hari yang sama bagi meminda undang-undang berkaitan penstabilan bekalan, permintaan dan harga makanan ruji. Langkah itu menandakan perubahan daripada inisiatif pendahulunya, Shigeru Ishiba, yang sebelum ini mengembangkan pengeluaran dan eksport untuk menurunkan harga.
Perubahan itu bertujuan menstabilkan harga dengan mengelakkan lebihan pengeluaran beras serta menggalakkan syarikat menghasilkan beras berdasarkan keadaan pasaran.
Susulan kekurangan bekalan baru-baru ini yang sebahagiannya berpunca daripada kegagalan kerajaan memahami keadaan pengedaran beras serta unjuran penawaran dan permintaan, pindaan itu akan mewajibkan perniagaan berkaitan makanan melaporkan tahap stok beras mereka secara berkala.
Bagi melengkapkan simpanan beras kerajaan yang boleh dilepaskan dengan segera ketika kekurangan bekalan, syarikat swasta yang berskala besar juga akan diwajibkan menyimpan stok beras.
Dalam perkembangan yang digelar sebagai “krisis beras Reiwa”, merujuk kepada era semasa Jepun, harga beras meningkat dengan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Menurut data kerajaan, harga runcit purata bagi beg beras lima kilogram kini menunjukkan trend menurun dan berada di bawah 4,000 yen (US$25) sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Sekiranya berlaku kekurangan bekalan, kerajaan akan mengeluarkan amaran atau mendedahkan secara terbuka nama syarikat yang gagal mematuhi arahan untuk melepaskan stok.
Menurut kerajaan, suhu tinggi yang menjejaskan bekalan serta peningkatan permintaan daripada pelancong asing antara faktor kenaikan harga beras.
-- BERNAMA-KYODO
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial