Oleh Anas Abu Hassan
SINGAPURA, 3 April (Bernama) -- Platform e-panggilan Gojek Singapura mengumumkan Pakej Sokongan Bahan Api bagi membantu rakan pemandunya menangani peningkatan kos operasi susulan kenaikan harga bahan api.
Dalam satu pekeliling yang disiarkan di saluran Telegram rasminya, Gojek Singapura memaklumkan pakej itu merangkumi kenaikan fi pemandu yang lebih tinggi kepada S$0.90 (S$1=RM3.12) bermula 10 April hingga 31 Mei 2026, berbanding kadar semasa S$0.50/S$0.80 bagi semua perkhidmatan kecuali GoTaxi.
“Kami memahami kenaikan harga bahan api memberi tekanan kepada pendapatan anda dan kami komited membantu anda mengurus peningkatan kos operasi serta mengekalkan mata pencarian,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, Gojek Singapura turut meningkatkan diskaun bahan api "langsung" kepada 23 peratus untuk rakan pemandunya bermula 1 April.
“Sebagai sebahagian daripada inisiatif bersama Esso, kami menyediakan sokongan bahan api tambahan sehingga S$50 kepada rakan pemandu yang layak dan aktif memandu bersama Gojek,” katanya.
Awal minggu ini, satu lagi platform e-panggilan utama, Grab Singapura, turut mengumumkan pakej sokongan rakan pemandu bernilai S$1.1 juta susulan ketidaktentuan harga bahan api di tengah-tengah konflik di Asia Barat yang berterusan.
Syarikat itu juga akan mengenakan surcaj bahan api sementara sebanyak S$0.40 ke atas tambang penumpang dari 7 April hingga 31 Mei 2026, sebagai tambahan kepada fi pemandu sedia ada sebanyak S$0.50.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial