KUALA NERANG, 4 April (Bernama) -- Enam puluh pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di daerah Padang Terap akan diberi ganjaran lawatan pendidikan ke Jepun dan Indonesia.
Ganjaran itu, yang ditawarkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) Anak Muda MADANI Kedah, bertujuan menghargai pencapaian pelajar berkenaan.
Pengerusi Anak Muda MADANI Kedah Datuk Zuraidi Rahim berkata kesemua pelajar terbabit adalah dari dua sekolah yang dijadikan sekolah angkat NGO itu serta tujuh sekolah lain di daerah itu.
“Bagi pelajar cemerlang dari sekolah angkat iaitu sebanyak 20 orang akan saya bawa untuk lawatan pendidikan ke Jepun, manakala 40 pelajar cemerlang dari sekolah lain akan dibawa ke Jakarta, Indonesia.
“Pada awalnya saya bercadang untuk membawa pelajar cemerlang dari sekolah angkat ke London tetapi disebabkan konflik di Asia Barat, saya telah berbincang dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan Pejabat Pendidikan Daerah untuk menukar destinasi ke Jepun,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata lawatan pendidikan ke dua negara itu dijangka diadakan pada Mei ini sebelum masing-masing melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.
Zuraidi berkata lawatan pendidikan tersebut bukan semata-mata untuk keseronokan pelajar malah bakal dipenuhi dengan pengisian berbentuk pendidikan dan ilmiah termasuk lawatan ke institusi pengajian tinggi di kedua-dua negara berkenaan.
“Di Indonesia, pelajar akan melawat beberapa universiti yang diiktiraf kerajaan khususnya dalam bidang perubatan, manakala di Jepun mereka akan dibawa melawat bandar seperti Tokyo dan Osaka untuk melihat budaya pembelajaran serta kemajuan di negara itu,” katanya.
Beliau berkata pihaknya berharap inisiatif tersebut akan menyuntik semangat kepada pelajar terlibat untuk terus cemerlang dalam pendidikan demi mencapai cita-cita mereka.
Selain itu, Zuraidi berkata pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di daerah Padang Terap yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 juga akan diberikan lawatan ke Bali, Indonesia pada masa hadapan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial