WILAYAH - UTARA > BERITA

Projek LRT Pulau Pinang Capai Kemajuan Ketara, Casting Yard SBG Kini 90 Siap

04/04/2026 08:37 PM

GEORGE TOWN, 4 April (Bernama) – Projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang mencapai kemajuan ketara dengan fasiliti penuangan Casting Yard Segmental Box Girder (SBG) di Sungai Ular, Kulim, kini 90 peratus telah siap.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow dalam satu kenyataan berkata kemudahan seluas 15.378 hektar di Kulim itu bakal memainkan peranan penting dalam pembinaan laluan bertingkat projek tersebut dengan menghasilkan segmen SBG konkrit yang membentuk struktur utamanya.

Chow, yang melawat tapak tersebut pagi ini, berpuas hati dengan kemajuan yang dicapai, yang disifatkannya sebagai momentum yang semakin meningkat dalam pembinaan sistem LRT pertama negeri ini.

Beliau juga berkata fasiliti itu merupakan satu langkah penting ketika projek tersebut bergerak ke fasa seterusnya dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Mei 2026 berikutan permulaan kerja pada April 2025.

Menurut taklimat oleh Pengarah Projek LRT SRS, Adil Putra Ahmad, kemudahan tersebut akan menghasilkan kira-kira 8,800 segmen SBG yang diperlukan untuk pakej Kontraktor Utama Awam 1 (CMC1), yang meliputi jajaran sepanjang 23.7 kilometer dari Pulau Silicon ke Komtar.

Disokong oleh tenaga kerja seramai 400 kakitangan dan 20 set acuan, kemudahan penuangan itu dijangka menghasilkan sehingga 350 segmen sebulan pada operasi puncak, dengan segmen pertama telah berjaya dituang.

Menurut kenyataan itu, kaedah pembinaan bersegmen dipilih kerana kesesuaiannya dengan persekitaran bandar Pulau Pinang, kerana ia meningkatkan kecekapan sambil meminimumkan gangguan aras tanah dan meningkatkan keselamatan.

Kerja-kerja pemasangan cerucuk dan pembinaan tambangan sedang dijalankan, dan rentang pertama, sepanjang 40 meter dan setiap satu terdiri daripada 13 segmen, dijangka dilancarkan di tapak seperti Bandar Seri Pinang antara Julai dan Ogos.

Ketua Menteri berkata walaupun pelancaran SBG biasanya dijalankan pada waktu malam di kawasan sibuk untuk meminimumkan impak lalu lintas, mungkin terdapat pelarasan yang diperlukan pada Pelan Pengurusan Lalu Lintas (TMP) apabila aktiviti pembinaan meningkat.

Beliau juga berkata dengan penyelarasan berterusan dan kelulusan segera, kerajaan negeri yakin projek itu berada di landasan yang betul untuk memulakan operasi pada 2031.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan