KOTA BHARU, 4 April (Bernama) -- Kebakaran lima rumah di Kampung Chabang Tiga, Kedai Buloh, di sini menyebabkan kira-kira 30 penghuni tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah 100 peratus.
Seorang mangsa, Nor Lilis Zaidi, 23, berkata dia bergegas pulang sebaik dimaklumkan jiran, namun tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan barangan di dalam rumah kerana api marak sangat kuat.
"Ketika kejadian saya dan ayah, Zaidi Abdullah, 50, tiada di rumah. Sebaik mendapat panggilan mengatakan rumah terbakar, saya terus pulang tetapi api begitu marak.
"Saya kini terpaksa tinggal di rumah emak di Kampung Kijang kerana kesemua barangan di dalam rumah terbakar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, kakak kepada Nor Lilis, Norly Atira, 28, pula berkata dia yang menetap di Melaka terus pulang ke Kelantan sebaik menerima berita kejadian tersebut dan terkejut apabila melihat rumah yang didiami ayah serta adiknya hangus.
Dalam kejadian kira-kira 9.45 malam itu, sebanyak lapan rumah terbakar dengan lima daripada rumah berkenaan musnah 100 peratus, manakala bakinya terbakar 10 peratus.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial