KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) -- Insentif bagi pelaburan dalam industri automotif negara perlu mencipta kesan pengganda, memacu pertumbuhan di seluruh rantaian bekalan serta menyokong pembangunan vendor, menurut Persatuan Pembekal Proton Malaysia (PVA).
PVA menjelaskan pihaknya menyokong penuh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam usahanya melindungi dan memperkukuh ekosistem automotif Malaysia.
“Walaupun Malaysia terus mengalu-alukan pelaburan asing, sama penting juga untuk menyedari bahawa syarikat automotif yang beroperasi di sini mendapat manfaat daripada pelbagai insentif serta asas industri yang kukuh.
“Insentif pelaburan tersebut mesti memberikan nilai yang lebih luas kepada negara selain daripada keuntungan komersial serta merta,” tambah PVA dalam kenyataan hari ini.
Menurut persatuan itu, insentif yang disalurkan kepada pengeluar automotif juga perlu menyokong pembangunan vendor Tahap 1, Tahap 2 dan Tahap 3.
“Pendekatan ini memastikan kemampanan jangka masa panjang, memperkukuh keupayaan tempatan serta memantapkan kedudukan Malaysia sebagai hab automotif yang berdaya saing dan berdaya tahan,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial