WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Ketua IEA Beri Amaran ‘April Hitam’ Bagi Bekalan Minyak

07/04/2026 09:13 PM

PARIS, 7 April (Bernama-dpa) -- Ketua Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) Fatih Birol memberi amaran mengenai kemungkinan “April hitam” berikutan keadaan bekalan minyak global yang semakin meruncing susulan perang di Iran dan sebahagian besar Selat Hormuz yang terhalang, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Dalam temu bual dengan akhbar Perancis Le Figaro yang disiarkan dalam talian lewat Isnin, Birol berkata walaupun Mac sangat mencabar, April dijangka jauh lebih buruk.

Beliau berkata negara Teluk kini hanya menghasilkan lebih sedikit daripada separuh jumlah minyak yang mereka keluarkan sebelum perang, manakala gas asli tidak lagi dieksport melalui laluan perairan sempit strategik itu yang secara berkesan disekat oleh Iran.

“Jika selat itu benar-benar kekal ditutup sepanjang April, kita akan kehilangan dua kali ganda bekalan minyak mentah dan produk bertapis berbanding Mac. Kita berdepan ‘April hitam’,” katanya.

“Saya sangat pesimis hari ini kerana perang ini melumpuhkan antara nadi utama ekonomi global. Bukan sahaja minyak dan gas, tetapi juga baja, petrokimia, helium dan banyak lagi.”

Dunia tidak pernah mengalami gangguan bekalan tenaga pada skala sebegini, kata Birol.

“Jika dilihat kepada tiga krisis minyak dan gas utama sebelum ini, krisis semasa lebih serius berbanding krisis 1973, 1979 dan 2022 digabungkan. Kita berdepan kejutan tenaga besar yang merangkumi kejutan minyak, gas dan makanan,” katanya.

Pelepasan rizab minyak yang diselaraskan oleh IEA hanya mampu mengurangkan tekanan buat sementara waktu, kata Birol. “Satu-satunya penyelesaian sebenar adalah membuka semula Selat Hormuz. Selagi ia kekal ditutup, ekonomi global akan berdepan kesukaran besar.”

-- BERNAMA-dpa



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan