WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RHB Bank Perkukuh Sokongan Bagi Memantapkan Daya Tahan PKS

08/04/2026 10:53 PM

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- RHB Bank Bhd sedang memperkukuh sokongannya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui rangkaian menyeluruh bantuan kewangan dan penyelesaian pembiayaan secara mampan.

Bank itu berkata langkah berkenaan diambil sebagai tindak balas kepada krisis tenaga global yang berterusan, yang menyebabkan kos operasi meningkat, gangguan rantaian bekalan dan aliran tunai yang lebih terhad untuk syarikat perniagaan.

“Menyedari peranan penting yang dimainkan oleh PKS dalam memacu daya tahan ekonomi, RHB secara proaktif berhubung dengan pelanggan yang terjejas untuk menawarkan bantuan yang tepat pada masanya dan bersasar.

“Ia termasuk pemprosesan pantas di bawah langkah Sokongan Kesinambungan Perniagaan, dengan pilihan penstrukturan semula dan penjadualan pembiayaan yang disesuaikan untuk membantu meringankan tekanan aliran tunai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata banyak PKS sedang berdepan peningkatan kos perniagaan, terutamanya dalam tenaga, logistik dan bahan mentah.

“Peranan kami adalah untuk menyokong mereka dengan penyelesaian kewangan yang praktikal dan tepat pada masanya, yang membantu mereka mengurus tekanan ini, memperkukuh daya tahan dan membolehkan mereka terus beroperasi secara kompetitif,” katanya.

RHB juga bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan untuk melaksanakan bantuan bersasar dan penyelesaian pembiayaan strategik sebagai sebahagian daripada usaha yang diselaraskan bagi membantu PKS menghadapi tempoh-tempoh yang mencabar ini.

Seiring dengan langkah segera itu, bank berkenaan juga menawarkan pelbagai penyelesaian modal kerja untuk membantu PKS menguruskan peningkatan kos operasi.

“Bagi penambahbaikan jangka panjang dan pengoptimuman kos, bank menyediakan penyelesaian Pembiayaan Hijau melalui penyertaan aktif dalam skim-skim Bank Negara Malaysia (BNM). Penyelesaian ini membantu PKS menggunakan tenaga boleh baharu dan beralih kepada operasi yang lebih cekap tenaga.

“Dengan kadar faedah yang kompetitif, pembiayaan ini berfungsi sebagai alat strategik untuk mengawal kos, mengurangkan kebergantungan kepada pasaran bahan api yang tidak menentu dan meningkatkan kemampanan secara keseluruhan,” katanya.

RHB menambah pihaknya akan kekal sebagai rakan kongsi kewangan yang berdedikasi dan dipercayai kepada komuniti PKS selaras dengan landskap global yang terus berkembang.

Sehubungan itu, PKS boleh menghubungi pengurus perhubungan mereka, mengunjungi mana-mana cawangan RHB, berhubung dengan pusat panggilan pelanggan bank, atau melayari laman web rasmi RHB untuk maklumat lanjut berkenaan langkah sokongan yang tersedia.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan