WILAYAH - SARAWAK > BERITA

CAP Gesa Kerajaan Buat Perancangan Awal Hadapi Kemarau, Elak Tanaman Padi Terjejas

09/04/2026 02:22 PM

GEORGE TOWN, 9 April (Bernama) -- Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) hari ini meminta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta agensi berkaitan melakukan perancangan dan bertindak lebih awal bagi menghadapi musim kemarau tidak lama lagi.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata kejadian kemarau panjang yang melanda kawasan sawah di Kedah, Perlis dan Perak baru-baru ini menjejaskan berpuluh ribu hektar tanaman padi dan menyebabkan hasil merosot lebih 60 peratus serta petani mengalami kerugian besar.

“Perlis misalnya mengalami kerugian mencecah RM2.7 juta akibat kemarau yang melanda kawasan sawah di negeri itu dan tinjauan CAP di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mendapati tanah sawah kering kontang serta pokok padi mati kekeringan kerana petani sukar mendapatkan bekalan air.

“Selain saliran MADA, sumber air dari sungai dan empangan Muda, Pedu dan Ahning juga berada pada paras yang rendah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau meminta semua kerajaan negeri, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Pertanian serta agensi berkaitan mengekalkan kawasan tadahan air, di samping membina sistem saliran yang berkesan serta menyediakan lebih banyak pam air untuk kegunaan petani ketika kemarau.

Mohideen juga berpandangan saranan Pengerusi MADA Datuk Dr Ismail Salleh yang meminta pesawah menggunakan kaedah tabur terus kering bagi memulakan musim tanaman padi, wajar dikaji semula kerana boleh mengundang pelbagai masalah seperti ancaman rumput, padi angin, serangga perosak, tikus, burung, cengkerik, benih padi mati atau tidak tumbuh selain masih memerlukan air untuk benih padi bercambah.

CAP mencadangkan supaya musim menabur benih ditetapkan bukan pada musim kemarau bagi mengelak tanah sawah kering kontang dan benih padi mati sementara bekalan benih padi dan baja diedarkan kepada petani mengikut masa ditetapkan supaya kerja persawahan dapat dilakukan serentak oleh petani.

“Benih padi tradisi dan cara penanaman tradisional wajar digunakan semula oleh para petani kerana ia mungkin lebih sesuai dengan keadaan perubahan iklim sekarang serta mempunyai ketahanan terhadap ancaman penyakit dan makhluk perosak,” katanya.

Mohideen berkata CAP bimbang dengan kesan kemarau yang berlaku sekarang kerana ia bukan sahaja menjejaskan sumber pendapatan petani tetapi bekalan beras dan makanan untuk rakyat di negara ini.

Sehubungan dengan itu, CAP turut mencadangkan agar KPKM menyalurkan bantuan kepada petani yang mengalami kerugian akibat kesan kemarau pada musim ini bagi meringankan beban mereka menanggung kehidupan keluarga.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan