PUTRAJAYA, 10 April (Bernama) -- Kerajaan Hungary akan terus menawarkan 40 biasiswa penuh setiap tahun kepada pelajar Malaysia bagi melanjutkan pengajian di negara itu selepas Memorandum Persefahaman (MoU) Program Stipendium Hungaricum bagi tempoh 2026 hingga 2028 diperbaharui hari ini.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata MoU berkenaan dimeterai susulan kunjungan hormat Duta Besar Hungary ke Malaysia Dr Sandor Sipos ke kementerian itu petang tadi bagi memperkukuh kerjasama akademik dua hala antara kedua-dua negara.
"Kerjasama tersebut menyaksikan penawaran sebanyak 40 biasiswa penuh secara tahunan kepada warganegara Malaysia untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana serta Doktor Falsafah di Hungary bermula tahun 2026.
"Pakej biasiswa komprehensif ini merangkumi pembiayaan penuh yuran pengajian, elaun sara hidup, kemudahan penginapan serta perlindungan insurans kesihatan bagi memastikan kebajikan pelajar terjamin sepanjang tempoh pengajian," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata program biasiswa antarabangsa itu terus menjadi pilihan utama mahasiswa tempatan apabila merekodkan sambutan luar biasa mencecah 350 permohonan bagi mengisi kuota 40 tempat yang disediakan pada sesi akademik lepas.
Zambry juga berkata peluang pendidikan eksklusif itu ialah sebahagian daripada inisiatif global Kerajaan Hungary yang menyediakan 12,000 slot biasiswa setiap tahun merentasi pelbagai negara rakan diplomatik di seluruh dunia.
"Kelestarian hubungan akademik itu bukan sekadar tentang mobiliti fizikal malah turut bertindak sebagai jambatan yang menghubungkan komuniti dan institusi pendidikan tinggi kedua-dua buah negara ke arah masa depan yang lebih gemilang," katanya.
Dokumen perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Dr Anesee Ibrahim dan Dr Sipos, yang mewakili Kerajaan Hungary.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial