WILAYAH - SABAH > BERITA

Anak Sepanggar Digesa Rebut Peluang Pendidikan - Mustapha

11/04/2026 06:01 PM

KOTA KINABALU, 11 April (Bernama) -- Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mustapha Sakmud menyeru anak muda di kawasan parlimen itu yang menerima tawaran ke universiti atau institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tampil memaklumkan pihaknya bagi membolehkan bantuan disalurkan.

Beliau berkata usaha memastikan setiap anak di Parlimen Sepanggar mendapat akses pendidikan yang lebih baik terus diperkasakan menerusi pelbagai inisiatif termasuk tuisyen percuma, bantuan kewangan serta sokongan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

“Di Parlimen Sepanggar, kita berpaksikan kepada polisi yang kita panggil dasar berasaskan pendidikan. Maknanya kita memperuntukkan sebahagian besar daripada dana parlimen kita untuk memastikan anak-anak Sepanggar dijaga dari segi pendidikan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Siap Kampung Angkat MADANI di Pulau Sepanggar, di sini hari ini.

Mustapha berkata inisiatif tuisyen percuma telah dilaksanakan di pejabat parlimen beliau, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya dan SMK Telipok, dengan perancangan ia turut dibuka di SMK Tebobon pada tahun ini.

Mustapha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) berkata pelajar yang mencapai keputusan cemerlang turut diberikan pengiktirafan sebagai galakan untuk terus berjaya dalam pendidikan.

Dalam usaha memastikan tiada pelajar tercicir, beliau berkata bantuan kewangan secara sekali beri turut disediakan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi atau TVET.

Selain itu, beliau berkata aspek pendidikan agama turut diberi perhatian termasuk usaha menyediakan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di kawasan yang belum mempunyai kemudahan tersebut.

Mustapha berkata pendidikan kunci utama untuk mengubah taraf hidup masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar yang berhadapan kekangan akses dan peluang.

Beliau berkata pendidikan juga membolehkan anak tempatan keluar daripada kitaran kemiskinan dan menyumbang kepada pembangunan keluarga serta komuniti pada masa depan.

Mengenai projek Kampung Angkat MADANI di Pulau Sepanggar yang diterajui Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Sabah, Mustapha berkata ia berjaya melaksanakan beberapa pembaikan infrastruktur asas termasuk membaik pulih pondok jeti, dewan serbaguna, masjid dan titian pejalan kaki dengan peruntukan RM1 juta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan