WILAYAH - SELATAN > BERITA

JS-SEZ Pacu Kerjasama, Serlah Johor Sebagai Hab Pelaburan Dan Digital

12/04/2026 02:10 PM

JOHOR BAHRU, 12 April (Bernama) -- Kerjasama kukuh pelbagai pihak berkepentingan bertunjangkan pendekatan ekosistem holistik, dijangka mempercepat transformasi ekonomi Johor, khususnya menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Singapura T. Vinothan berkata penyelarasan antara kerajaan, penggiat industri serta pelabur adalah kritikal dalam usaha memastikan pelaksanaan inisiatif berjalan dengan lancar yang merangkumi pelaburan, bakat dan transformasi digital.

Beliau berkata Jawatankuasa Menteri Kerjasama Johor–Singapura (JSCMC) juga telah ditubuhkan bagi memantau kemajuan serta hasil pelaksanaan di bawah JS-SEZ, disokong pula oleh kumpulan kerja khusus yang menumpukan aspek pendigitalan, pembangunan bakat serta kemudahan menjalankan perniagaan.

“Peranan utama kumpulan kerja ini adalah untuk memastikan kita terus bergerak ke hadapan. Ia juga bertujuan membincangkan perkara-perkara utama tentang sejauh mana relevannya JS-SEZ dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

“Perjanjian yang dimeterai dengan Singapura bukan sekadar memorandum persefahaman (MOU), tetapi satu perjanjian berfungsi. Saya percaya penyelarasan baik dalam ekosistem kita sendiri adalah penting untuk memastikan ini bukan sekadar dokumen dasar, tapi inisiatif yang mampu menghasilkan keputusan sebenar dengan pertumbuhan ke seluruh Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi bertajuk 'Catalysing Regional Competitiveness: The JS-SEZ Blueprint for Cross-Border Innovation and Sustainable Industrial Growth' bersempena acara Asia Summit Advanced Innovation & Manufacturing 2026 di sini, hari ini.

Panelis lain termasuk Ketua Pegawai Bakat Johor Corporation Najmie Noordin serta Pengarah Pejabat Ekonomi Digital Serantau Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) Raja Segaran.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata inisiatif berterusan seperti sistem pelepasan kod QR tanpa pasport, proses kastam yang diperkemas, serta Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang dijangka beroperasi menjelang Januari 2027, akan turut meningkatkan pergerakan rentas sempadan orang ramai dan barangan secara signifikan.

Vinothan turut mengetengahkan peranan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) yang juga pusat sehenti menghimpunkan pembuat keputusan penting dari serata kementerian dan agensi untuk melancarkan lagi usaha pelaburan.

“Bagi tempoh Januari hingga Disember 2025, IMFC-J telah mengendalikan lebih daripada 1,000 pertanyaan dengan kira-kira 131 projek berpotensi dinilai, sekali gus mencerminkan minat pelabur yang kukuh. Matlamatnya adalah untuk memastikan kelancaran perjalanan pelaburan,” katanya.

Sementara itu, Najmie berkata Johor menawarkan cadangan nilai yang kukuh, disokong oleh ketersediaan bakat, kepimpinan yang proaktif serta penjajaran antara kerajaan Persekutuan dan negeri.

Johor juga menghasilkan kira-kira 35,000 hingga 36,000 siswazah setiap tahun, sebahagian besarnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), termasuk disiplin teknikal dan kejuruteraan.

Institusi seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus berperanan penting dalam membekalkan tenaga mahir, disokong oleh inisiatif di bawah Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC).

“Program seperti Skills for Johor dengan peruntukan kira-kira RM20 juta tahun ini, menumpukan peningkatan kemahiran dan latihan semula tenaga kerja bagi memenuhi keperluan industri dengan sokongan pihak penyedia latihan, termasuk Johor Skills dan politeknik,” katanya.

Pada masa sama, kepelbagaian ekonomi Johor serta kumpulan bakat yang pesat berkembang menyediakan peluang kepada pelabur untuk membangun dan mengembangkan perniagaan mereka dari semasa ke semasa.

Negeri itu juga, katanya, menyasarkan untuk menggandakan keluaran dalam negara kasar (KDNK) daripada RM150 bilion kepada RM260 bilion menjelang 2030.

Seorang lagi panelis, Raja Segaran pula mengetengahkan peranan MDEC yang terus mengukuhkan kerjasama dengan sektor swasta, terutama dalam bidang yang pesat seperti kecerdasan buatan (AI).

Menurutnya, peluang kerjasama itu pula merangkumi keseluruhan rantaian nilai AI, termasuk infrastruktur, unit pemprosesan grafik (GPU), GPU-as-a-service (GPUaaS), data, model asas dan aplikasi AI dengan MDEC turut menyokong syarikat sebagai rakan pilihan pasaran.

“MDEC bekerjasama rapat dengan IMFC-J, (MIDA) dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dalam memastikan usaha pelaburan diselaras selain penciptaan nilai untuk pelabur, termasuk dari Singapura,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan