WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sabah Catat Jualan Lebih RM5 Juta Di MATTA Fair

12/04/2026 07:49 PM

KOTA KINABALU, 12 April (Bernama) -- Sabah merekodkan jualan sebanyak RM5,098,153.74 sepanjang Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) berlangsung selama tiga hari bermula 3 April.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata jualan penggiat pelancongan berpangkalan di negeri ini menunjukkan momentum dengan mencatatkan RM812,156.32 pada hari pembukaan sebelum meningkat kepada RM1,425,231.32 pada hari kedua dan RM2,740,766.10 pada hari terakhir.

Jafry berkata prestasi kukuh itu cukup menggalakkan dan penyertaan berterusan Sabah dalam pameran pelancongan utama akan membantu meningkatkan tempahan serta ketibaan pelawat.

“Peningkatan jualan yang konsisten sepanjang pameran itu mencerminkan permintaan kukuh terhadap tawaran pelancongan di Sabah dalam kalangan pelawat domestik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata platform seperti MATTA Fair Kuala Lumpur membolehkan pemain industri negeri berhubung secara langsung dengan pasaran.

“Kami akan terus menyokong penyertaan lebih ramai ejen tempatan bagi menterjemahkan minat ini kepada kunjungan sebenar ke negeri ini,” katanya.

Beliau berkata berbanding RM4.5 juta yang dicatatkan pada MATTA Fair Kuala Lumpur edisi April tahun lepas dengan penyertaan 43 ejen, prestasi tahun ini menunjukkan daya tahan pasaran pelancongan domestik Sabah.

Pada MATTA Fair Kuala Lumpur tahun ini, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) disertai 37 ejen pengembaraan dan pelancongan berpangkalan di Sabah yang beroperasi di 100 reruai, menawarkan pelbagai pakej pelancongan yang mempamerkan kepelbagaian produk pelancongan termasuk budaya, pengembaraan dan alam semula jadi.

STB turut memperkenal dan memperkukuh penjenamaan destinasi “Explore Sabah” sambil menonjolkan Festival Kaamatan sebagai tarikan budaya utama.

STB memaklumkan ejen turut digalakkan untuk menggabungkan pengalaman berasaskan komuniti dalam pakej mereka, sekali gus membolehkan pelancong berinteraksi dengan komuniti setempat serta menyokong pembangunan pelancongan mampan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan