WILAYAH - UTARA > BERITA

MADA Akan Laksana Penanaman Padi Guna Kaedah Tabur Terus Kering Bagi Musim 1/2026

13/04/2026 07:32 PM

ALOR SETAR, 2 April (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) akan melaksanakan kaedah penanaman padi secara tabur terus kering bagi musim 1/2026 di kira-kira 100,641 hektar kawasan tanaman padi di Kawasan Muda. 

Pengerusi MADA Datuk Dr Ismail Salleh berkata langkah itu diambil susulan penyusutan paras air di tiga empangan utama di Kedah akibat kekurangan hujan di kawasan tadahan sejak kebelakangan ini.

Kaedah tabur terus kering membabitkan putaran tanah dalam keadaan kering sebelum kerja menabur benih padi dilakukan atas permukaan sawah yang dapat menjimatkan penggunaan air.

“Sehingga hari ini, jumlah keseluruhan takungan air di tiga empangan berada pada tahap 39.42 peratus yang melibatkan Empangan Pedu pada paras 39.69 peratus, Empangan Ahning 53.97 peratus dan Empangan Muda 11.52 peratus.

“Sehubungan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Bekalan Air dan Penanaman Padi (MJBAPP) MADA Musim 1/2026 telah bersetuju bahawa penanaman padi bagi musim ini dilaksanakan menggunakan kaedah tabur terus kering,” katanya pada sidang media di Pejabat MADA, di sini, hari ini.

Dr Ismail berkata tarikh akhir pembajakan pertama bagi Fasa I adalah pada 15 April, diikuti Fasa II (29 April) dan Fasa III (13 Mei) manakala tarikh akhir menabur kering bagi Fasa I ditetapkan pada 15 Mei, Fasa II (29 Mei) dan Fasa III (12 Jun).

“Purata turunan hujan di Kawasan Muda hanya merekodkan 56 milimiter (mm), jauh lebih rendah berbanding purata 20 tahun iaitu 225mm yang menunjukkan penurunan sebanyak 75 peratus. Jadi, kaedah ini dilihat strategi terbaik bagi mengoptimumkan penggunaan sumber air yang terhad.

“Ini juga bagi memastikan jadual penanaman dapat diteruskan tanpa bergantung sepenuhnya kepada bekalan air pengairan pada peringkat awal tanaman,” katanya. 

Beliau berkata walaupun kos bagi kaedah ini agak tinggi sedikit termasuk perlu menambah beg benih namun ia perlu dilaksanakan.

 “MADA akan mempergiat kempen bagi memberi pendedahan kepada pesawah berkaitan pelaksanaan kaedah itu termasuk aspek penyediaan tanah dan kawalan rumpai, jadi kita harap pesawah bersedia.

“Tetapi, sekiranya berlaku hujan lebat di kawasan tadahan dalam tempoh terdekat sehingga paras takungan kembali stabil, pesawah dinasihatkan semula untuk menggunakan kaedah penanaman padi yang bersesuaian,” katanya.

Kaedah seumpama ini pernah beberapa kali dilaksanakan iaitu pada 1987 dengan hasil 2.3 tan; 1991 (3.5 tan); 1992 (3.1 tan) dan 1993 (3.9 tan) namun tidak diteruskan pada 2017 dan 2020 berikutan keadaan cuaca kembali lembap selepas hujan turun dan paras takungan empangan bertambah baik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan