WILAYAH - SELATAN > BERITA

Polis Siasat Kes Simbah Cat Merah Di Gemas

13/04/2026 08:25 PM

TAMPIN, 13 April (Bernama) -- Polis sedang menyiasat kejadian khianat membabitkan perbuatan menyimbah cat merah di sebuah rumah di Taman Desa Bakti, di Gemas, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tampin Supt Amiruddien Sariman berkata kejadian itu dilaporkan seorang lelaki pada 5.45 pagi selepas menyedari terdapat tompokan cat merah di bahagian pagar rumahnya.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti pinjaman wang tidak berlesen atau mana-mana entiti pinjaman tidak sah bagi mengelakkan ancaman terhadap keselamatan diri dan harta benda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kerosakan harta benda.

“Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Khairul Asyraf Supena di talian 014-2722 529 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin di 06-443 1999, atau mana-mana balai polis berhampiran.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan