WILAYAH - SARAWAK > BERITA

12,009 Barang Kemas Bernilai Lebih RM443 Juta Disita Di Pavilion Residences - Saksi

14/04/2026 06:26 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Seorang pegawai kanan polis memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa sebanyak 12,009 barang kemas yang disita dari sebuah unit di Pavilion Residences dianggarkan bernilai RM443,319,206.90. 

ACP Foo Wei Min, 51, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Urusetia Ketua Polis Negara, Bukit Aman berkata jumlah nilai anggaran kasar itu diperoleh berdasarkan pemeriksaan dan penilaian dibuat oleh DSP Yeap Yoke Peng dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dengan bantuan pakar barang kemas pada 30 Mei hingga 25 Jun 2018.

"Barang kemas itu diserahkan dan disita oleh pasukan siasatan dan pihak pendakwa raya telah memfailkan suatu permohonan pelucuthakan harta melibatkan barang-barang yang disita," katanya.

Beliau berkata demikian pada prosiding pendengaran saman berjumlah USD14.57 juta difailkan syarikat barang kemas dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL terhadap isteri kepada bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor berhubung kehilangan lebih 40 barang kemas.

Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia turut dimasukkan sebagai pihak ketiga dalam saman itu.

Foo yang berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak Oktober 2001 berkata pada 17 Mei 2018, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman diketuai SAC Mohd Sakri Arifin membuat pemeriksaan di sebuah unit kondominum di Pavilion Residences berdasarkan waran geledah.

Katanya, polis kemudian merampas harta-harta alih antaranya 35 beg mengandungi wang tunai pelbagai dominasi, enam beg mengandungi jam tangan pelbagai jenama serta 25 beg berisi pelbagai barang kemas.

Beliau berkata turut disita ialah tiga beg mengandungi cermin mata pelbagai jenis dan jenama, sebuah beg berisi dompet pelbagai saiz dan jenama serta 284 kotak mengandungi beg tangan pelbagai jenama.

Foo yang merupakan saksi kelima bagi pihak ketiga berkata pendakwa raya kemudian memfailkan suatu permohonan pelucuthakan harta melibatkan barang-barang disita.

Beliau berkata Rosmah diminta hadir ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram untuk membantu siasatan ke atas harta-harta alih yang dirampas termasuk barang-barang kemas. 

Foo berkata Rosmah selaku defendan dalam kes saman berkenaan menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai pengetahuan dan tidak mengarahkan sesiapa untuk memindahkan barang-barang dari kediamannya di Langgak Duta ke Pavilion Residences.

“Beliau juga tidak pernah menyatakan harta-harta tersebut adalah miliknya serta memaklumkan tidak dapat mengecam semua harta berkenaan walaupun ditunjukkan gambar yang jelas,” katanya.

Foo memaklumkan pada 26 April 2022 satu arahan dikeluarkan oleh Peguam Negara untuk memulangkan 9,554 barang kemas kepada Rosmah dan suaminya, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata pemulangan barang kemas dilaksanakan pada 28 hingga 29 April 2022 kepada wakil mereka, Datuk Akbar Abdul Gafoor dari Tetuan Azamuddin & Co, dan pada 14 Nov 2022, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak harta dalam kes membabitkan Obyu Holding Sdn Bhd.

Katanya susulan keputusan itu sebanyak 2,431 lagi barang kemas dipulangkan kepada wakil Rosmah pada 9 Dis 2022.

Pada 29 Mac 2023, Global Royalty menyaman Rosmah dan mendakwa beliau berbohong bahawa 44 barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh ejen syarikat kepada beliau dirampas Pihak Berkuasa Malaysia atas kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Syarikat berpangkalan di Beirut itu mendakwa bahawa hanya satu daripada 44 barang kemas terbabit berada dalam simpanan dan kawalan polis, manakala 43 bakinya tidak berada dalam jagaan mereka.

Global Royalty kemudian mendakwa Rosmah meletakkan tanggungjawab kepada Kerajaan Malaysia sedangkan sebenarnya barang kemas itu telah hilang.

Pendengaran di hadapan Hakim Datuk Quay Chew Soon bersambung esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan