WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPWKM Peruntuk RM4 Juta Bagi Program PERANTIS 2026, Sasar Penglibatan 80 Tokoh Wanita

14/04/2026 08:14 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Sebanyak RM4 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) tahun ini, dengan sasaran penglibatan 80 tokoh wanita dan 4,000 peserta sekali gus memperkukuh usaha melahirkan pemimpin wanita berkualiti di pelbagai sektor.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata program yang dikendalikan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) itu merupakan inisiatif strategik kementerian dalam memperkasa kepimpinan wanita melalui pendekatan bimbingan, perkongsian pengalaman dan pembangunan kapasiti secara menyeluruh.

“Kita mahu melihat lebih ramai wanita bukan sahaja menyerlah dalam bidang masing-masing, tetapi juga berani melangkah ke peringkat kepimpinan dan pembuat keputusan.

“Program PERANTIS menjadi platform penting untuk membina keyakinan, keupayaan serta rangkaian sokongan dalam kalangan wanita” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), hari ini.

Program PERANTIS dilaksanakan pada  2024, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac 2024.

KPWKM memaklumkan usaha berkenaan sejajar dengan Dasar Wanita Negara serta Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025-2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan barisan pemimpin pelapis wanita dan peningkatan kemahiran kepimpinan. 

“Program PERANTIS juga menyokong aspirasi nasional di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 serta komitmen serantau melalui kerjasama ASEAN dalam memperkasa penyertaan wanita dalam kepimpinan, ekonomi dan pembangunan sosial secara inklusif,” menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian itu kejayaan PERANTIS amat memberangsangkan pada 2024, apabila seramai 1,247 peserta menerima bimbingan daripada 25 tokoh wanita dalam 10 bidang utama meliputi kepimpinan, politik, ekonomi, sosial, teknologi, perundangan, keselamatan, kesejahteraan, pendidikan dan kesihatan.

“Pada 2025, program ini diperluas dengan penglibatan 100 tokoh wanita dan 4,129 peserta dengan peruntukan sebanyak RM5 juta,” menurut KPWKM.

KPWKM terus komited memperkukuh kepimpinan wanita melalui pelaksanaan program PERANTIS dan komitmen itu dizahirkan menerusi penganjuran Program Inspirasi Wanita: Menjejak Potensi, Menghargai Dedikasi yang berlangsung di ibu negara hari ini, bagi meraikan tokoh wanita yang mempamerkan komitmen, dedikasi serta kepimpinan cemerlang sepanjang pelaksanaan program itu tahun lepas.

Program yang bertemakan ‘Menjejak Potensi, Menghargai Dedikasi’ itu amat bertepatan dengan semangat PERANTIS yang mana setiap tokoh dan peserta mempunyai potensi tersendiri dan melalui program itu, potensi mereka digilap berdasarkan pengalaman pembelajaran, bimbingan mentor serta pendedahan kepada pelbagai perspektif kepimpinan.

Menurut KPWKM, komitmen yang ditunjukkan sepanjang program berkenaan membuktikan bahawa wanita berupaya memikul tanggungjawab kepimpinan dengan cemerlang, serta mampu menjadi sumber inspirasi kepada lebih ramai wanita.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan