KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Simulasi perlawanan menjadi antara pengisian program persediaan di kem latihan berpusat di Herning, menjelang Piala Thomas 2026 dan Piala Uber 2026, kata Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara Rexy Mainaky.
Beliau berkata pendekatan itu dilihat mampu membantu pemain menyesuaikan diri dengan situasi sebenar pertandingan, tanpa perlu menjalani perlawanan persahabatan dengan pemain luar.
“Tidak ada (perlawanan persahabatan). Kita akan buat simulasi, tetapi antara kita saja (cuma) akan melibatkan orang untuk datang tengok. (Untuk) lapan hari itu memang kita sudah ada rancang program tapi ada simulasi,” katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM), malam tadi.
Piala Thomas akan berlangsung di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei.
Rexy berkata berkata keseluruhan program latihan telah dirancang secara teliti termasuk sesi khusus bagi memperkukuh keserasian dalam kalangan pemain beregu.
“Ya, kita semua sudah menjalani latihan di sini. Objektifnya adalah untuk membina ‘team feeling’ iaitu bagaimana kita kembali fokus sebagai satu pasukan. Ini berbeza dengan acara individu kerana dalam kejohanan berpasukan.
“Jadi penekanan kita ialah bagaimana semua pemain berlatih secara berpasukan dengan baik, saling membantu dan akhirnya menjadikan pasukan ini lebih kuat,” katanya.
Saingan Piala Thomas menyaksikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyenaraikan pemain profesional lelaki negara Lee Zii Jia serta Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Aidil Sholeh Ali Sadikin bagi membawa cabaran perseorangan lelaki.
Acara beregu lelaki pula, cabaran negara akan diterajui pasangan nombor dua dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik selain Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta pasangan profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani.
Skuad lelaki kebangsaan diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, England dan Finland.
Sementara itu, bagi saingan Piala Uber 2026, skuad negara menyaksikan gandingan utama beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah sebagai sandaran utama selain pasangan muda Ong Xin Yee-Carmen Ting serta Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah dan skuad perseorangan wanita menyenaraikan empat pemain diketuai K. Letshanaa bersama Wong Ling Ching, Siti Zulaikha Azmi dan Goh Jin Wei.
Skuad wanita diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, Turki dan Afrika Selatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial