WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia, Singapura Perkukuh Kerjasama Tenaga, Fokus Tenaga Boleh Baharu -- TPM Fadillah

15/04/2026 09:56 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Malaysia dan Singapura terus memperkukuh kerjasama dua hala dan serantau dalam sektor tenaga, khususnya tenaga boleh baharu (TBB), bagi meningkatkan daya tahan serta kelestarian tenaga di rantau ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuan beliau dengan Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri bertanggungjawab bagi Tenaga Singapura Tan See Leng di Menara PETRA hari ini.

“Dalam perbincangan ini, beliau (Tan) turut menyentuh mengenai kesan krisis di Asia Barat terhadap rantaian bekalan tenaga global dan cabaran cabaran yang dihadapi ASEAN,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurut beliau, Tan turut mengiktiraf usaha Malaysia dalam memperkukuh keselamatan tenaga melalui inisiatif Grid Kuasa ASEAN (APG), selain menekankan kepentingan komitmen bersama negara-negara ASEAN bagi menjayakan agenda itu demi masa depan tenaga yang lebih terjamin di Asia Tenggara.

Sementara itu, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata Malaysia dan Singapura akan terus mempercepat pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), termasuk meneroka kerjasama dalam teknologi hijau seperti Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS).

Beliau berkara itu dibincangkan dalam pertemuannya bersama Tan di Kementerian Ekonomi, hari ini.

“Sudah pasti kami berbincang untuk terus mempercepat kerjasama JS-SEZ, iaitu inisiatif utama rentas wilayah Kementerian Ekonomi yang berpotensi menjadi “game changer” dalam meningkatkan kompleksiti ekonomi kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Akmal Nasrullah berkata Singapura kekal sebagai rakan dagang terpenting Malaysia di ASEAN, dengan jumlah perdagangan bagi tempoh Januari hingga Oktober 2025 meningkat kepada RM339.39 bilion.

“Singapura bukan sekadar negara jiran, malah rakan dagang terpenting kita di ASEAN. Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2025 sahaja, jumlah perdagangan dua hala telah meningkat kepada RM339.39 bilion, satu angka yang signifikan terhadap potensi ekonomi yang dijana,” katanya.

Beliau berkata sehingga Jun 2025, pelaburan dari Singapura telah mewujudkan lebih 429,000 peluang pekerjaan di Malaysia.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut membincangkan secara mendalam potensi kerjasama dalam teknologi hijau menerusi CCUS, selain persediaan Malaysia dan Singapura untuk mendepani cabaran tenaga global susulan ketegangan di Asia Barat.

“Saya percaya melalui kerjasama yang jujur dan strategik, kedua-dua negara akan terus meraih manfaat yang saling menguntungkan.

“Yang paling penting ialah bagaimana pelaburan bernilai berbilion ringgit ini dapat diterjemahkan kepada peluang ekonomi dan kerjaya yang lebih baik untuk anak muda kita, khususnya di Johor Bahru dan Malaysia secara amnya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan