
Perjalanan menemani ibu berjumpa rakan yang juga pengusaha tart nanas dan biskut makmur di Sabak Bernam, Selangor, tujuh tahun lalu, mengubah haluan hidup wanita ini yang sebelum itu cuma berniaga kek secara kecil-kecilan dari rumah.
Bahkan, sebelum terdengar “pengakuan” rakan ibunya yang dia meraih nilai jualan RM1.8 juta dalam tempoh empat bulan, Nurul Asyiqin Mohamad Ramli tidak pernah menyangka, usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) mampu memperoleh hasil setinggi itu.
Pantas membandingkan pendapatan yang diperolehnya menerusi jualan kek, usahawan ini berkata sepanjang perjalanan pulang ke rumah mereka di Cheras, dekat sini, dia membuat pertimbangan dan memutuskan untuk beralih ke pembuatan biskut.
"Bayangkan hanya jual tart nanas dan biskut makmur boleh untung sebegitu tinggi. Walaupun rakan ibu memaklumkan sedikit menurun berbanding tahun sebelumnya, iaitu RM2 juta, bagi saya angka RM1.8 juta cukup besar dan membuatkan saya kagum.
“Masa saya buat kek, saya jual dan hantar sendiri kepada pelanggan. Bila dikira jualan setiap minggu, saya cuma dapat sekitar RM200. Tolak gaji saya RM100, baki saya gunakan jadi modal pusingan. Memang ibarat langit dengan bumi bezanya saya dengan rakan ibu,” katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.
BANTAHAN KAKAK
Memulakan perniagaan kek pada 2017, hasrat Nurul Asyiqin untuk beralih ke pengeluaran biskut mendapat bantahan kakaknya yang melihat bisnes kek itu sudah cukup stabil.
“Ketika itu saya sudah dua tahun mengusahakan perniagaan kek, jadi mungkin kakak tidak mahu melihat saya kembali berdepan kepayahan bermula dari bawah, kerana, untuk menjalankan perniagaan baharu kena bina asas semula,” kongsinya.
pic-2
Namun dia nekad untuk mengubah haluan.
"Boleh dikatakan untuk perniagaan biskut ini saya bermula dengan kosong, tidak ada modal pun. Peralatan pun ada sedikit, iaitu yang sedia ada semasa saya buat kek.
“Saya kemudian memohon bantuan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan memperoleh RM3,000. Duit itu saya beli ketuhar, kerana ketuhar sedia ada kurang sesuai untuk buat biskut," katanya, menambah proses memohon bantuan modal perniagaan daripada MAIWP amat mudah dan cepat.
(MAIWP menawarkan Bantuan Modal Perniagaan dalam bentuk tunai dan peralatan menerusi Program Pembangunan Usahawan Asnaf, khusus untuk golongan fakir, miskin dan mualaf di Wilayah Persekutuan yang ingin memulakan atau mengembangkan perniagaan.)
Bercerita lanjut, Nurul Asyiqin yang mempunyai diploma dalam bidang kulinari daripada Food Institute of Malaysia, memulakan perniagaan biskutnya dengan jenama Cocokins pada penghujung 2019, menjual biskut cip coklat, “dark chocolate”, “red velvet” dan pistasio pada harga RM25 sebalang.
pic-3
Sedar jenamanya belum dikenali, wanita ini giat memperkenalkan produknya, mencari pelanggan serta ejen, namun ketibaan COVID-19 memberikannya cabaran baharu yang membuatkan dia hampir-hampir tersungkur.
“Saya baru saja bertapak, kemudian COVID datang. Pada masa itu jualan agak kurang sambutan sebab jenama saya belum dikenali,” katanya.
Pun begitu wanita ini cekal mengharungi ujian itu hinggalah pada 2021, iaitu ketika COVID-19 memuncak dan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, menyaksikan masyarakat meraikan sambutan Aidilfitri dalam norma baharu termasuk tidak dibenarkan bergerak merentas negeri.
"Masa ini lagi dua minggu hendak raya. Ejen kembalikan biskut… lebih 2,000 balang dipulangkan kerana ejen tidak dapat menjual biskut-biskut itu. Kerugian memang banyak. Saya pula kurang arif pemasaran dalam talian. Akhirnya biskut-biskut itu saya dermakan begitu saja, sebab kalau disimpan akan rosak.
“Bayangkan, saya baru saja mula berniaga dan ada tujuh ke lapan orang ejen. Saya tidak boleh berpatah balik. Sedih, terduduk semasa ejen memulangkan balang-balang berisi biskut itu,” imbasnya, sedih.
BANGKIT
Bagaimanapun wanita ini tidak membiarkan dirinya patah semangat. Sepanjang 2021 hingga 2022 dia meneruskan perniagaan secara kecil-kecilan sambil menimba ilmu tentang pemasaran dengan mengikuti kursus dalam talian anjuran pelbagai pihak termasuk kerajaan serta swasta.
Pada 2022, Nurul Asyiqin sekali lagi memohon bantuan MAIWP dengan kerjasama SME Corp Malaysia bagi mengembangkan perniagaannya. Dengan bantuan modal RM10,000 yang diperoleh, dia menyusun semula perniagaannya.
Sedar dia berada dalam industri yang mempunyai persaingan sengit, Nurul Asyiqin berusaha mencari kelainan dalam penghasilan produknya.
pic-4
Puas mencari, akhirnya Cocokins tampil dalam bentuk kapsul; lebih kecil dan mudah dibawa, sekali gus membolehkan pelanggan menikmati biskut keluarannya di mana-mana sahaja; dan hanya pada harga RM7.
"Ada masa kita nak makan biskut, tapi tidak mahu banyak-banyak. Tambahan pula, harga sebalang RM30. Jadi, bagi sesetengah orang, lebih baik dia gunakan duit itu beli nasi yang lebih mengenyangkan berbanding biskut.
“Begitu juga dengan kanak-kanak. Mereka amat gemarkan biskut, tetapi mereka makan tak banyak. Jadi, selepas melakukan R&D (penyelidikan & pembangunan), lahirlah idea memasarkan biskut dalam bekas kapsul yang mesra poket,” kongsinya.
Menurut Nurul Asyiqin, inovasi itu mendapat sambutan hangat termasuk membuka pintu kepada lebih banyak ejen serta mereka yang ingin mencari pendapatan tambahan sebagai penjual Cocokins.
Turut dipasarkan di stesen minyak Petronas, hospital dan kafe di agensi kerajaan di sekitar Lembah Klang, usahawan itu berkata produknya kini telah menembusi pasaran di negeri lain seperti Johor dan Terengganu.
Kini, nama Cocokins kian dikenali, malah kata wanita itu biskut keluarannya turut dipasarkan di bawah satu jenama produk makanan terkenal di negara ini.
Selepas hampir tujuh tahun berkecimpung dalam perniagaan biskut, dia yang hanya dibantu oleh dua pekerja sambilan, kini mengeluarkan 500 hingga 700 balang dan kapsul biskut sebulan dengan pendapatan lima angka yang meningkat kepada sekitar RM100,000 pada musim perayaan.
JUARA PROJEK BANGKIT
Pada November 2025, Nurul Asyiqin mengabsahkan kedudukannya sebagai usahawan IKS berjaya apabila menjuarai Projek Bangkit, iaitu program realiti keusahawanan anjuran MAIWP dengan kerjasama stesen televisyen TV Alhijrah.
Program tersebut menyasarkan golongan asnaf di Wilayah Persekutuan untuk mengubah taraf hidup melalui perniagaan, menawarkan geran modal RM50,000 serta tajaan promosi RM1 juta selain bimbingan usahawan. Program yang berlangsung selama lapan minggu bermula Oktober 2025 itu menampilkan 21 peserta.
Berkongsi lanjut, Nurul Asyiqin berkata dia menyertai program tersebut atas ajakan rakan-rakan usahawan bagi menimba pengalaman.
pic-5
"Untuk menaikkan nama Cocokins saya pun mohon dan hantar video... kemudian bersyukur terpilih. Mungkin faktor (saya terpilih) adalah kerana dari awal hingga kini saya kekal dengan bisnes sama sehingga dapat memikat jenama besar untuk mengambil produk saya," katanya.
Sekalipun tidak begitu menaruh harapan, dia tetap mempunyai impian untuk memanfaatkan geran yang diperoleh, sekiranya menang, untuk perancangan masa depan Cocokins.
“Alhamdulillah, memang tidak disangka saya dapat tewaskan 20 peserta lain untuk jadi juara program,” katanya, menambah penyertaannya dalam program itu turut memperkenalkan Cocokins kepada pelanggan dari seluruh negara.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial