WILAYAH - TIMUR > BERITA

TFC Belum Muktamad Sertai Liga A1 Semi-Pro Musim Depan

16/04/2026 03:49 PM

KUALA NERUS, 16 April (Bernama) -- Terengganu FC (TFC) tidak menolak kemungkinan untuk beraksi dalam Liga A1 Semi-Pro musim depan.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Hishamuddin Abdul Karim berkata pihak pengurusan kelab kini sedang memperhalusi perkara itu yang memerlukan penelitian serta perbincangan mendalam sebelum keputusan muktamad dibuat.

Beliau berkata, faktor dalaman khususnya kekangan kewangan menjadi antara isu utama yang terus membelenggu pasukan.

“Perkara ini belum dimuktamadkan. Kami sedang memperhalusi cadangan untuk membawa TFC beraksi dalam Liga A1 Semi-Pro musim depan dan ia bukan semudah perancangan di atas kertas.

“Kami juga sedang melakukan penelitian berkaitan perkara itu. Faktor dalaman seperti kewangan dan sebagainya kekal menjadi cabaran utama yang dihadapi pasukan. Ia boleh diibaratkan seperti penyakit diabetes yang berpanjangan dan sukar dipulihkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hishamuddin berkata sekiranya TFC membuat keputusan beraksi dalam liga Divisyen Dua, fokus utama akan diberikan kepada program pembangunan bola sepak selain menyelesaikan pelbagai isu dalaman kelab yang berlarutan.

Menurutnya TFC sebelum ini beberapa kali dikenakan sekatan pendaftaran pemain oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) susulan masalah tunggakan bayaran pemain.

Dalam pada itu, mengulas prestasi semasa pasukan, beliau berkata skuad Penyu masih berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran menamatkan saingan Liga Super di kedudukan kelima musim ini.

“TFC masih berada di landasan betul untuk mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan iaitu di tempat kelima,” katanya.

Ketika ini, TFC menghuni tangga kelima Liga Super dengan mengumpul 32 mata daripada 20 perlawanan, selain masih berbaki empat aksi menentang Negeri Sembilan FC, Kuching City FC, Imigresen FC dan Sabah FC.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan