KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali merakamkan penghargaan tinggi kepada barisan penguat kuasa kementerian itu yang disifatkan sebagai “wira di sebalik tabir” dalam memastikan kestabilan harga serta bekalan barangan keperluan negara.
Menerusi hantaran di Facebook sempena Hari Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ke-54 hari ini, beliau berkata peranan anggota penguat kuasa amat besar dan jasa mereka dirasai rakyat setiap hari, walaupun mereka tidak sentiasa berada di hadapan umum.
Beliau berkata usaha berterusan pasukan itu di lapangan dalam memeriksa, memantau serta mengambil tindakan tegas berjaya memastikan tiada pihak mengambil kesempatan, di samping menjamin barangan bersubsidi tidak tiris dan sampai kepada golongan sasar.
“Tanpa mengenal penat dan waktu, mereka berada di lapangan, memeriksa, memantau dan mengambil tindakan demi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan dan hak rakyat sentiasa dilindungi,” katanya.
Armizan turut memuji keteguhan, keberanian dan integriti warga penguat kuasa KPDN dalam melaksanakan amanah, sambil menggesa mereka terus berkhidmat dengan penuh dedikasi dan profesionalisme.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial