KUANTAN, 20 April (Bernama) -- Seorang wanita berdepan detik cemas selepas terkandas di beting pasir di Pantai Balok, di sini semalam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Salahuddin Isa berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian yang melibatkan mangsa berusia 24 tahun itu pada 8.37 pagi, semalam.
“Kejadian itu berlaku ketika wanita terbabit pergi ke beting pasir sejauh 100 meter dari pesisir pantai dan tidak menyedari air mulai pasang, sekali gus terkandas di lokasi terbabit,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng memulakan operasi dengan membawa mangsa menggunakan bot getah menyeberangi air sedalam kira-kira satu meter menuju ke pantai.
Dalam pada itu, Mohd Salahuddin turut menasihatkan orang ramai supaya mengelak berada di beting pasir ketika air laut berubah serta sentiasa peka terhadap jadual pasang surut air laut.
“Beting pasir boleh kelihatan selamat semasa air surut, tetapi akan cepat ditenggelami apabila air pasang. Elakkan turun ke kawasan berisiko seorang diri serta pastikan ada rakan atau ahli keluarga yang boleh memantau keadaan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial