WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Iran Beri Amaran Tiada Jaminan Keselamatan Selat Hormuz Jika Eksport Minyak Disekat

20/04/2026 12:38 PM

ISTANBUL, 20 April (Bernama-Anadolu) -- Naib Presiden Pertama Iran Mohammad Reza Aref awal Isnin memberi amaran bahawa keselamatan di Selat Hormuz tidak dapat dijamin sekiranya eksport minyak Iran terus disekat, lapor Anadolu Ajansi.

“Tiada siapa boleh menyekat eksport minyak Iran sambil mengharapkan keselamatan laluan itu dinikmati secara bebas oleh pihak lain. 

“Keselamatan Selat Hormuz bukan percuma,” kata Aref menerusi platform media sosial X.

Aref berkata dunia kini berdepan pilihan sama ada “pasaran minyak bebas untuk semua” atau “kos besar yang perlu ditanggung semua pihak”.

Beliau turut berkata kestabilan harga bahan api global bergantung pada “penamatan yang terjamin dan berkekalan terhadap tekanan ekonomi dan ketenteraan ke atas Iran serta sekutunya”.

Pada 28 Feb, Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran, yang kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan ke atas Israel serta beberapa negara lain di rantau itu yang menempatkan aset AS.

Operasi AS-Israel itu mengorbankan lebih 3,300 orang sebelum Washington dan Tehran mengumumkan gencatan senjata selama dua minggu pada 8 April, yang diusahakan Pakistan.

Kedua-dua pihak kini sedang membuat persiapan bagi pusingan kedua rundingan di Islamabad pada Selasa selepas rundingan pada 11 hingga 12 April berakhir tanpa sebarang persetujuan.

AS mengenakan sekatan laut ke atas Iran pada 13 April.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan