PUTRAJAYA, 20 April (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara bersepadu dalam menangani impak krisis tenaga global yang memberi tekanan kepada rantaian bekalan dan keselamatan ekonomi negara dengan mencatat RM11.05 juta jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi tempoh 12 hingga 16 April.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata operasi berkenaan turut membawa kejayaan penahanan 40 individu, melibatkan 18 kes diesel dengan nilai rampasan RM10.41 juta, sembilan kes petrol (RM413,209.40) serta lima kes gas petroleum cecair (LPG) dan minyak masak (RM153,628).
"Selain itu, tindakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut merampas aset logistik termasuk 30 tong gas, bot kargo dan enjin sangkut di perairan Tawau, Sabah," katanya menerusi catatan di Facebook hari ini bagi berkongsi Laporan Status Keselamatan dan Penguatkuasaan KDN: Impak Krisis Asia Barat, bertarikh 16 April.
Menyifatkan pendekatan itu sebagai bukti komitmen KDN, beliau berkata langkah tersebut dilaksanakan dalam memastikan ketirisan sumber tenaga dibendung secara menyeluruh melalui kerjasama strategik antara agensi seperti Polis Diraja Malaysia dan APMM.
“Tiada kompromi terhadap ketirisan dan penyeludupan. Penguatkuasaan akan terus diperkasa secara bersepadu dan berasaskan data," katanya.
Saifuddin Nasution menegaskan KDN akan terus memperkukuh kesiapsiagaan dan kecekapan operasi demi memastikan kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara sentiasa terpelihara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial