PONTIAN, 21 April (Bernama) -- Seorang pesara swasta kerugian RM108,000 selepas terperdaya dengan pelaburan saham tidak wujud dalam talian pada Mac lepas.
Ketua Polis Daerah Pontian Superintenden Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata wanita berusia 61 tahun itu berurusan dengan individu yang menawarkan pakej pelaburan saham daripada sebuah syarikat, dengan menjanjikan keuntungan 80 peratus daripada jumlah pelaburan.
"Tertarik dengan tawaran itu, mangsa telah membuat beberapa transaksi ke atas satu akaun syarikat bermula 11 Mac hingga Jumaat lepas dengan jumlah keseluruhan RM108,000," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, mangsa mengesyaki telah ditipu apabila diminta membuat penambahan bayaran bagi sebarang pengeluaran keuntungan yang dipaparkan pada aplikasi itu, sebelum dia membuat laporan polis semalam.
Hadzrat Hussien berkata modus operandi sindiket ini bermula dengan mangsa akan dimasukkan dalam satu kumpulan WhatsApp bersama rakan suspek, yang menyamar sebagai pelabur-pelabur dan memainkan peranan kononnya sebagai ahli baharu yang menyertai pelaburan terbabit.
Beliau berkata perbualan dalam kumpulan tersebut hanya menerangkan mengenai prosedur pelaburan, dan mangsa kemudiannya terperdaya untuk menyertai berikutan testimoni palsu daripada penyamaran pihak sindiket yang menyatakan telah menerima keuntungan berlipat ganda.
“Setelah itu, mangsa akan menghubungi pihak admin dan diminta untuk memuat turun aplikasi palsu melalui pautan diberikan.
“Mangsa hanya akan diminta untuk menambah jumlah pelaburan serta memantau peningkatan keuntungan yang tidak wujud melalui aplikasi itu secara dalam talian," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial