Oleh Mohd Firdaus Md Saisi
KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Syarikat pembinaan kapal Korea Selatan, HD Hyundai Heavy Industries (HHI) mengulangi komitmen untuk menyokong Pelan Transformasi 15 to 5 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melalui penawaran platform kapal perang khusus serta pemindahan teknologi secara menyeluruh.
Pengurus jualan HHI Jewon Yun berkata syarikat itu telah mencadangkan lima platform yang sejajar dengan pelan transformasi berkenaan, dengan penekanan khusus terhadap varian HDL-10,000 sebagai penyelesaian yang memenuhi semua keperluan pemodenan.
"Varian HDL-10,000 adalah penyelesaian HHI bagi keperluan kapal sokongan pelbagai guna (MRSS), satu daripada lima kelas utama di bawah pelan tentera laut itu," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2026, di sini hari ini.
Beliau berkata reka bentuk platform berkenaan adalah untuk operasi pengangkutan laut berkapasiti tinggi, mampu membawa 18 kereta kebal, tiga kenderaan berperisai, 150 kru serta 580 anggota tentera.
Kapal itu turut dilengkapi kemudahan perubatan, yang merangkumi bilik pembedahan, wad, bilik konsultasi, makmal serta pengimejan X-ray berdasarkan Doktrin NATO Tahap Dua (Role 2), yang menjadikannya sesuai untuk misi ketenteraan dan kemanusiaan.
Yun berkata strategi HHI di Malaysia banyak menumpukan kepada aspek "Berdikari", sebagaimana digalakkan oleh kerajaan Malaysia.
"Matlamat masa hadapan kami adalah untuk mewujudkan keupayaan di limbungan kapal Malaysia supaya limbungan berkenaan dapat membina MRSS sendiri pada masa akan datang, sekali gus mencapai aspek 'Berdikari'," katanya.
Untuk menyokong usaha itu, beliau berkata HHI telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi pembangunan modal insan.
Selain MRSS, HHI turut menyasarkan program Littoral Mission Ship (LMS) Batch 3 melalui model HDP-1500 Neo bagi pengukuhan armada.
HHI mempunyai rekod prestasi yang baik di rantau ini apabila memperoleh kontrak bagi 12 kapal dengan Filipina serta perjanjian terbaharu melibatkan empat kapal dengan Tentera Laut Peru.
"Memandangkan kami mempunyai rekod yang terbukti dalam pemindahan teknologi kepada Tentera Laut Peru, kami amat yakin dapat memindahkan teknologi dengan berkesan kepada Tentera Laut Malaysia," katanya.
Pelan Transformasi 15 to 5 ialah pelan penyusunan semula kelas kapal daripada 15 kelas kepada lima supaya lebih efektif untuk diselengaara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial