KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Keutamaan Kerajaan MADANI dalam berdepan krisis bekalan global ketika ini adalah untuk melindungi rakyat, mengekalkan bekalan dan keperluan asas, menyokong industri serta memastikan momentum pertumbuhan negara tidak terjejas secara serius, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata Malaysia sedang mengurus satu krisis yang berlarutan dan berkembang secara berperingkat yang menuntut penyesuaian dasar, menguruskan tekanan kos, menjamin bekalan dan keperluan asas serta mengekalkan momentum ekonomi dalam tempoh yang lebih panjang.
Sebarang keputusan dan tindakan yang dilaksanakan kerajaan ketika ini katanya, mencerminkan satu pendekatan yang pantas, berfokus dan berasaskan data.
“Kita akui risiko yang sedang berlaku, tetapi kita juga yakin bahawa dengan koordinasi yang baik antara kementerian, kerjasama industri dan disiplin pelaksanaan yang tinggi, Malaysia mampu mengharungi episod ketidaktentuan ini dengan lebih tersusun.
“(Sehubungan dengan itu), dalam tempoh ini, semua pihak dituntut untuk bersama-sama melakukan penyesuaian yang berhemat dalam usaha kerajaan untuk meregang bekalan,” katanya dalam taklimat khas berkaitan krisis bekalan global yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan hari ini.
Akmal Nasrullah berkata antara pendekatan yang dilaksanakan ialah memperhebatkan kempen amalan baik seperti perbelanjaan berhemat, penjimatan tenaga dan elektrik serta perancangan perjalanan yang lebih cekap demi mengurangkan penggunaan bahan api dan kos harian.
Menurutnya pendekatan itu bagi memastikan penyesuaian berlaku secara tersusun dan terkawal sekiranya tempoh ketidaktentuan berpanjangan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial