KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- NCT Group of Companies (NCT) menganjurkan Program Menanam Pokok Bakau di Taman Alam Kuala Selangor baru-baru ini bersempena Hari Bumi sekali gus memperkukuh komitmen terhadap penjagaan alam sekitar.
NCT dalam kenyataan memaklumkan program yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Pencinta Alam Malaysia itu menyokong usaha pemulihan kawasan pesisir serta daya tahan iklim melalui pemulihan ekosistem bakau yang terjejas.
Sebanyak 80 peserta terdiri daripada kakitangan dan ahli keluarga mereka mengambil bahagian dalam program tersebut dengan menanam sebanyak 320 anak pokok bakau.
“Inisiatif ini juga mencerminkan dimensi sosial komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) NCT dengan mewujudkan peluang untuk penglibatan kakitangan serta ahli keluarga melalui aktiviti bersama yang bermakna.
“Dengan penglibatan ahli keluarga, program ini bukan sahaja membantu memulihkan persekitaran pesisir pantai, malah mengukuhkan hubungan dalam kalangan peserta, memupuk kesedaran alam sekitar merentas generasi serta menyemai rasa tanggungjawab bersama terhadap komuniti dan alam sekitar,” menurut kenyataan itu.
NCT memaklumkan aktiviti dimulakan dengan sesi pendidikan mengenai kepentingan ekologi bakau, diikuti dengan aktiviti penanaman berpandu yang memberi peluang kepada peserta memahami dengan lebih mendalam peranan paya bakau dalam melindungi kawasan pesisir daripada hakisan, menyokong biodiversiti serta bertindak sebagai penyerap karbon semula jadi yang berkesan.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan NCT Group Datuk Seri Yap Ngan Choy berkata kumpulan itu kekal komited untuk menterjemahkan matlamat kemampanan kepada bentuk tindakan.
“Komitmen kami terhadap kemampanan melangkaui sekadar hasrat, sebaliknya dizahirkan melalui tindakan yang kami ambil untuk melindungi dan memulihkan alam sekitar. Menerusi inisiatif seperti program penanaman bakau ini, kami menyumbang kepada penyelesaian iklim berasaskan alam semula jadi sambil memupuk budaya tanggungjawab dalam kalangan warga kerja dan komuniti kami,” katanya.
Pada masa sama, katanya ekosistem bakau diiktiraf kerana keupayaan penyerapan karbon yang tinggi, iaitu menyerap karbon dioksida kira-kira empat hingga lima kali lebih banyak berbanding hutan tropika, sekali gus menyumbang kepada Tindakan Iklim (Matlamat Pembangunan Mampan - SDG 13) dan pemeliharaan ekosistem marin menerusi Hidupan di Bawah Air (SDG 14).
Kerjasama dengan Persatuan Pencinta Alam Malaysia turut menyerlahkan komitmen NCT terhadap Perkongsian untuk Matlamat (SDG 17), yang menekankan kepentingan kerjasama rentas sektor dalam memajukan pembangunan mampan.
Program ini merupakan sebahagian daripada Pelan Hala Tuju ESG NCT yang lebih luas, dipandu oleh Pasukan Petugas ESG dan Jawatankuasa Kemampanan yang khusus, serta berteraskan tiga tonggak iaitu Pemerkasaan Komuniti, Pemeliharaan Alam Sekitar dan Penggalakan Pertumbuhan Inklusif.
“Sebagai pemaju hartanah yang berorientasikan tujuan, NCT terus mencipta nilai berkekalan yang melangkaui pembangunan dengan memberi penekanan yang sama kepada pemeliharaan alam sekitar, kesejahteraan komuniti dan pertumbuhan mampan,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial