LONDON, 22 April (Bernama-PA Media/dpa) -- Microsoft bakal berdepan kes tindakan kolektif bernilai £1.7 bilion (US$2.3 bilion) di United Kingdom (UK) atas dakwaan “menyalahgunakan kedudukan dominan” dalam pengkomputeran awan, lapor PA Media/dpa, memetik keputusan tribunal.
Lebih 59,000 perniagaan dan organisasi di UK secara kolektif menuntut pampasan daripada gergasi teknologi global itu selepas didakwa dikenakan caj berlebihan bagi penggunaan Windows Server pada perkhidmatan awan pesaing.
Pada 21 April, Tribunal Rayuan Persaingan memutuskan yang tuntutan itu boleh diteruskan ke peringkat perbicaraan.
Tribunal itu turut meluluskan Perintah Prosiding Kolektif (CPO) secara opt-out, yang membolehkan perniagaan terbabit menyaman secara kolektif, bukannya secara individu.
Dalam penghakiman mereka, tribunal yang dipengerusikan oleh Adam Johnson menyatakan yang “tuntutan itu jelas melepasi ambang dengan mempunyai prospek kejayaan yang nyata”.
Maria Luisa Stasi, pakar peraturan pasaran digital yang juga seorang peguam, memfailkan kes itu bagi pihak perniagaan terlibat, yang boleh menuntut pampasan sekiranya berjaya.
Beliau berkata: “Keputusan hari ini merupakan detik penting bagi ribuan organisasi yang terjejas oleh tindakan Microsoft serta dalam memastikan sektor penting ekonomi kekal inovatif dan terbuka.
“Selama bertahun-tahun, amalan Microsoft memberi kesan kewangan sebenar kepada organisasi awam dan swasta.
“Saya kini menantikan persiapan untuk perbicaraan dan mendapatkan semula wang mereka bagi pihak mereka.”
Tuntutan itu menuduh Microsoft menyalahgunakan kedudukannya melalui amalan pelesenan berkaitan sistem operasi Windows Server serta perkhidmatan pengkomputeran awan, khususnya platform Microsoft Azure.
-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial