WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Berunding Dengan Iran Selesaikan Sekatan Ke Atas Dua Kapal Negara - PM Anwar

24/04/2026 04:25 PM

JOHOR BAHRU, 24 April (Bernama) -- Kerajaan sedang mengadakan rundingan dengan Iran bagi memastikan dua kapal tangki milik Malaysia yang membawa bekalan bahan api dibenarkan melepasi sekatan selepas keluar dari Selat Hormuz.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu diambil susulan sekatan yang dihadapi kapal berkenaan walaupun telah diberi pelepasan melalui selat tersebut sebelum ini oleh kerajaan Iran, khususnya oleh Presiden negara itu sendiri.

"Satu kapal sudah tiba (di Pengerang, Johor), manakala sebuah lagi hampir sampai dan sedang memasuki perairan Malaysia. Bagaimanapun, dua buah kapal yang sudah keluar (dari Selat Hormuz) masih berhadapan dengan beberapa sekatan.

"Jadi, kita sedang berunding kerana kelulusan itu sebenarnya telahpun diberikan," kata beliau kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Permas Jaya, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim.

Mengulas mengenai status kapal lain yang dilaporkan masih terkandas, Anwar berkata terdapat sebuah lagi kapal yang masih berada di pelabuhan Selat Hormuz.

"Sebuah lagi kapal masih terkandas di sana kerana mengalami kerosakan teknikal yang menyebabkannya tidak boleh berlepas buat masa ini," kata beliau.

Sebelum ini, media melaporkan lima buah kapal Malaysia dilaporkan terkandas di selat tersebut susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan