JOHOR BAHRU, 24 April (Bernama) -- Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) terus memperkukuh komitmen dalam memartabatkan prasarana pendidikan Islam di negeri ini dengan sasaran pengagihan 2,000 set kerusi dan meja kepada sekolah terpilih di seluruh negeri ini.
Menurut hantaran di laman facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sumbangan menerusi Program Inisiatif Bantuan Sekolah-Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor bagi 2026 itu, di sampaikan Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ Mohd Anizam Jamian dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Yosree Ikhsan dan Timbalan Pengarah Pendidikan Agama, Bahagian Pendidikan Islam Mohd Radhi Ruslan.
Hantaran itu turut memaklumkan Sekolah Agama (SA) Peserai di Batu Pahat dipilih sebagai lokasi simbolik penyerahan sumbangan tersebut dengan 190 set kerusi dan meja diperuntukkan untuk diagihkan kepada tiga sekolah iaitu SA Peserai, SA Seri Beroleh dan SA Parit Kemang.
Sementara itu, Mohd Fared menzahirkan penghargaan terhadap sinergi erat antara YSIJ dan kerajaan negeri dalam memperkukuh kemudahan pendidikan agama di Johor.
“Sumbangan ini adalah bukti keprihatinan YSIJ yang sentiasa meletakkan kebajikan anak Johor sebagai keutamaan. Kita mahu melihat setiap pelajar di sekolah agama dapat menuntut ilmu dalam suasana yang serba lengkap dan kondusif,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial