WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Situasi Paras Air Sungai Perak, Empangan Bukit Merah Terkawal - Exco

24/04/2026 07:39 PM

IPOH, 24 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak hari ini memberi jaminan bahawa situasi semasa Sungai Perak dan Empangan Bukit Merah adalah terkawal.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata semua jabatan serta agensi teknikal berkaitan sentiasa bersiap siaga selain menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan keselamatan awam, kelangsungan bekalan air serta keperluan pengairan sentiasa terpelihara.

"Bacaan di Tasik Temengor menunjukkan aras semasa berada pada 239.51 meter, iaitu pada paras terkawal dan masih di bawah paras normal 240 meter. 

"Setakat 8 pagi, aras takungan Empangan Bukit Merah berada pada 7.437 meter (24.40 kaki) dengan status berjaga-jaga pengairan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata walaupun aras semasa masih melepasi paras berjaga-jaga, kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan bekalan air bagi keperluan sektor pertanian khususnya di kawasan jelapang padi.

Mohammad Nizar juga berkata berkata tiada hujan direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas di kedua-dua kawasan.

Beliau berkata meskipun sebahagian besar kawasan di Perak tidak merekodkan hujan dalam tempoh 24 jam lepas, pemantauan berterusan dilaksanakan khususnya di kawasan hilir Sungai Perak yang berisiko dipengaruhi fenomena pasang besar.

Selain itu, Mohammad Nizar berkata secara keseluruhan, operasi empangan utama di Sungai Perak seperti Empangan Chenderoh, Empangan Kenering, Empangan Bersia dan Empangan Temengor dalam keadaan baik serta terkawal.

Beliau berkata kerajaan negeri, melalui agensi berkaitan, turut memantau rapi bacaan stesen pemantauan Sungai Perak di kawasan Parit dan Teluk Sena di daerah Perak Tengah bagi memastikan operasi rumah pam serta sistem pengambilan air mentah tidak terjejas.

Justeru, orang ramai dinasihat sentiasa mendapatkan maklumat sahih daripada saluran rasmi kerajaan dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang perubahan cuaca atau paras air.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan