MELAKA, 24 April (Bernama) -- Seorang pekerja kedai runcit ditahan disyaki menyeleweng 1,200 liter diesel bernilai RM93,344 menggunakan lori bonded di empat stesen minyak di sekitar Malim dalam Ops Tiris 4.0 malam tadi.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata siasatan awal mendapati suspek yang juga seorang lelaki tempatan berusia 40-an itu membeli diesel berkenaan menggunakan kad digital atau fleet card milik individu lain.
Beliau berkata dalam serbuan kira-kira 11 malam di Taman Malim Permai, minyak diesel yang diseleweng diisi dalam tangki tambahan berkapasiti 6,000 liter dilengkapi dengan satu set pam motor dalam lori tiga tan yang telah diubah suai itu.
“Ketika serbuan dilakukan, suspek sedang membuat pengisian diesel kali keempat di stesen minyak sekitar Malim menggunakan fleet card untuk mendapatkan harga subsidi sebelum dijual kepada pelanggan di tapak pembinaan sekitar Melaka.
“Serbuan dilakukan hasil risikan KPDN dan siasatan awal mendapati suspek dipercayai bergerak aktif dalam aktiviti penyelewengan diesel kira-kira dua minggu ini dengan mengisi minyak dalam tangki tambahan lori yang telah diubah suai di beberapa stesen berlainan,” katanya pada sidang media di Kompleks Penyimpanan KPDN Melaka di Krubong di sini hari ini.
Mohd Hazimin berkata siasatan awal turut mendapati suspek menjual bahan api itu untuk mengaut keuntungan sekitar RM4 seliter apabila bahan api berkenaan dijual pada harga sekitar RM6 seliter.
Beliau berkata pihaknya sedang mengesan pemilik kad digital itu dan pemilik lori bonded berkenaan berdaftar di bawah sebuah syarikat pengangkutan.
Menurut Mohd Hazimin, siasatan terperinci sedang dijalankan termasuk mengenal pasti sama ada suspek terlibat dalam sindiket penyelewengan diesel atau bergerak secara solo.
Beliau berkata kes disiasat di bawah subperaturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Penyelewengan diesel ini dipercayai berlaku ekoran terdapat permintaan tinggi daripada pengguna, khususnya pihak industri namun pihak kami akan memastikan Melaka tidak dijadikan tempat bagi sindiket melakukan sebarang aktiviti penyelewengan barang subsidi, terutama minyak atau diesel.
“Kes ini adalah yang keenam berjaya dipatahkan oleh KPDN Melaka dan kami telah menempatkan pegawai serta anggota KPDN di stesen minyak seluruh negeri ini bagi memantau dan mengesan sebarang aktiviti penyelewengan bahan api,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial