WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kementerian Komunikasi Perluas Program Wayang Pacak Ke Seluruh Negara

24/04/2026 11:42 PM

BUKIT MERTAJAM, 24 April (Bernama) -- Kementerian Komunikasi menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mempergiat usaha mendekatkan filem tempatan dengan masyarakat menerusi penganjuran program wayang pacak menerusi tayangan filem Babah di Permatang Pasir di sini malam ini.

Program berkonsep santai itu mendapat sambutan menggalakkan apabila kira-kira 230 penduduk setempat hadir bersama keluarga bagi merasai pengalaman menonton filem di ruang terbuka.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata program itu dilaksanakan dengan kerjasama FINAS, Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) dan Jabatan Penerangan sebagai usaha membawa hiburan berkualiti lebih dekat kepada rakyat.

“Filem Babah merupakan antara karya yang memenangi pelbagai anugerah sebelum ini, dan saya berbangga dapat bersama para pelakon serta komuniti setempat malam ini.

“Saya harap program seperti ini bukan sahaja memberi peluang kepada warga Kampung Pematang Pasir malah golongan muda khususnya anak-anak dapat menikmati pengalaman menonton wayang dalam suasana santai dan selesa,” katanya kepada pemberita pada majlis berkenaan malam ini. 

Yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah.

Fahmi juga berkata berkata format program wayang pacak itu dilihat sesuai untuk diperluas ke lebih banyak lokasi di seluruh negara. 

Program malam ini turut diserikan dengan kehadiran pelakon utama, iaitu Qi Razali dan Cristina Suzanne Stockstill serta diselitkan dengan pengisian ringkas Kempen Internet Selamat selain cabutan bertuah.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan