KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Hasrat skuad bola sepak Bawah 16 Tahun (B-16) negara untuk membalas dendam ke atas Vietnam tidak kesampaian apabila tewas 0-3 pada aksi final Kejohanan B-17 ASEAN hari ini.
Pada perlawanan berlangsung di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, Indonesia itu, Malaysia yang tewas kepada lawan sama di peringkat kumpulan, gagal menyaingi keampuhan Vietnam yang tampil lebih tersusun daripada awal hingga wisel penamat.
Vietnam membuka jaringan seawal minit ke-11 menerusi Quy Vuong Dao yang memanfaatkan kekacauan dalam kotak penalti Malaysia, dikawal Adam Nurfakrullah Mohd Fadli.
Skuad Malaysia B-16 dikendali Muhammad Shukor Adan hampir menyamakan kedudukan sembilan minit kemudian menerusi Nur Azam Muslim Nor Hisham, namun percubaan dilakukan melepasi bahagian tepi gawang Vietnam.
Van Duong Nguyen kemudian menggandakan kelebihan Vietnam B-17 menerusi jaringan pada masa kecederaan separuh masa pertama, sekali gus mengukuhkan kedudukan pasukan kendalian Cristiano Roland itu.
Bersambung pada babak kedua, Tri Dung Tran berjaya melepasi perangkap ofsaid sebelum melakukan umpanan kepada Van Duong untuk gol ketiga Vietnam pada minit ke-55, sekali gus menutup impian Malaysia untuk bergelar juara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial