WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Perlis Rakam Penghargaan Kepada KPKM Atas Peruntukan Pembangunan Sektor Pertanian

25/04/2026 10:21 AM

KANGAR, 25 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perlis merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atas peruntukan berjumlah RM18.9 juta bagi tempoh 2024 hingga tahun ini.

Menteri Besar Abu Bakar Hamzah berkata peruntukan tersebut untuk pembangunan sektor pertanian di negeri itu melalui Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan dan Program Pemerkasaan Agromakanan Negara.

Beliau berkata sokongan berterusan kementerian itu amat signifikan dalam memperkukuh agenda pembangunan agromakanan negeri secara menyeluruh.

“Diharapkan semua pihak dapat terus berdamping, memahami keperluan sasaran serta memberi perkhidmatan secara cepat dan berkesan bagi memastikan kesejahteraan setiap isi rumah sentiasa diambil perhatian,” katanya.

Abu Bakar berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Perlis Agrofest 2026 yang disempurnakan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Sungai Batu Pahat, dekat sini malam tadi.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berangkat ke majlis itu.

Perlis Agrofest berlangsung tiga hari bermula semalam, diadakan sebagai inisiatif strategik dalam memperkukuh pembangunan sektor pertanian, penternakan dan industri agromakanan di negeri itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan