WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Azam Baki Zahirkan Penghargaan Ketuai SPRM Enam Tahun

25/04/2026 07:18 PM

KUALA PILAH, 25 April (Bernama) -- Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki menzahirkan penghargaan dan menjunjung kasih atas peluang yang diberikan untuk mengetuai agensi itu selama enam tahun.

Beliau berkata kepercayaan diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Ketua Pesuruhanjaya sejak 9 Mac 2020 dan akan berakhir pada 12 Mei ini termasuk tiga kali lanjutan kontrak merupakan satu pengiktirafan besar terhadap dedikasi pasukannya dalam memerangi rasuah.

“Saya menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas kepercayaan ini, serta peluang dalam perkhidmatan melalui lanjutan tiga kali kontrak...ini merupakan satu penghormatan amat bermakna kepada saya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan Masjid Kariah Kampung Terentang, Padang Lebar bersempena Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) yang turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, di sini hari ini.

Azam turut menyeru seluruh warga SPRM memberikan kerjasama baik kepada kepimpinan baharu demi memastikan kesinambungan kecemerlangan agensi itu.

“Perancangan selepas ini belum tahu lagi...saya bukan orang politik, saya penjawat awam dan mahu terus berbakti kepada rakyat,” katanya.

Hari ini, Yang di-Pertuan Agong memperkenan pelantikan bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu berkuat kuasa 13 Mei ini.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata pelantikan berkenaan selaras dengan subseksyen 5(1) Akta SPRM atau Akta 694.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan