WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pembangunan Perkhidmatan Sokongan Minyak Dan Gas Miri Perkukuh Ekosistem Industri

25/04/2026 08:43 PM

MIRI, 25 April (Bernama) -- Kerajaan Sarawak mencadangkan pembangunan perkhidmatan sokongan berasaskan minyak dan gas bagi memperkukuh ekosistem huluan dan hiliran negeri itu.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg berkata inisiatif itu akan memenuhi keperluan industri, termasuk pengeluaran air serta perkhidmatan sokongan penting lain bagi aktiviti minyak dan gas di utara Sarawak.

“Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah mencadangkan supaya Miri dibangunkan sebagai hab sokongan perkhidmatan minyak dan gas. Kita akan memudah cara perkhidmatan yang diperlukan industri, khususnya di bahagian ini di Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas lawatan tapak Projek Pengorekan Delta Kuala Baram di Pelabuhan Miri hari ini.

Sementara itu, Abang Johari berkata projek pelabuhan laut dalam Miri menunjukkan kemajuan yang baik dan dijangka mencapai lebih banyak pencapaian penting sebelum musim monsun tahun ini.

Beliau berkata pembinaan benteng pemecah ombak di Tebing Utara dan Tebing Selatan akan memainkan peranan penting dalam memastikan pelayaran selamat dengan mengurangkan impak ombak serta mencegah pemendapan kelodak di laluan kapal.

Apabila kedua-dua tebing berkenaan siap kelak, Abang Johari berkata pembangunan itu berpotensi mewujudkan tanah baharu melalui pengumpulan sedimen secara semula jadi, sekali gus membuka peluang kepada aktiviti perindustrian dan komersial.

“Pembentukan tanah baharu ini dijangka menarik pelaburan serta menyokong aktiviti seperti pembaikan dan pembinaan kapal, selain menyediakan kemudahan berstruktur yang memenuhi keperluan kualiti dan audit,” katanya.

Beliau berkata dalam tempoh jangka panjang, pelabuhan Miri akan berperanan sebagai pintu keluar eksport di utara, melengkapi Bintulu yang mengendalikan kategori kargo berbeza.

Projek itu juga dijangka merangsang pertumbuhan ekonomi di Miri menerusi penambahbaikan logistik, sokongan kepada pengembangan industri serta peningkatan kesalinghubungan, katanya.

“Pelabuhan ini akan menjadi titik keluar penting bagi komoditi dan menyumbang kepada pembangunan ekosistem ekonomi di utara Sarawak,” katanya sambil menambah sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi inisiatif pangkalan sokongan minyak dan gas berkenaan.

Mengenai projek pengorekan saluran akses Delta Kuala Baram, yang dilaporkan bernilai RM208.9 juta kini mendahului jadual dengan kemajuan fizikal keseluruhan sekitar 55 peratus.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan