MELAKA, 25 April (Bernama) -- Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia disyaki terlibat dalam sindiket pinjaman tidak wujud secara dalam talian menerusi Ops Frontier di sebuah rumah di Taman Melaka Raya di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata ketiga-tiga suspek berusia 22 hingga 30 tahun, dengan sorang daripadanya berperanan sebagai penyelia sindiket manakala dua lagi merupakan ejen pemberi pinjaman yang berurusan dengan mangsa.
Beliau berkata dalam operasi kira-kira 11 malam semalam itu, polis mendapati premis berkenaan dijadikan pusat panggilan bagi menjalankan aktiviti penipuan pinjaman tidak wujud secara dalam talian sejak Mac lepas.
"Modus operandi sindiket ini ialah menawarkan pinjaman tidak wujud melalui aplikasi mesej dan media sosial dengan menyasarkan warganegara tempatan sebagai mangsa.
"Polis turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan bagi menjalankan aktiviti penipuan, termasuk komputer riba, telefon bimbit dan peralatan rangkaian dengan anggaran nilai rampasan RM15,000," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata ketiga-tiga suspek direman empat hari bermula hari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan.
Christopher berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan memperdaya mangsa melalui tawaran pinjaman tidak wujud secara dalam talian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial