SHAH ALAM, 26 April (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kes ingkar titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkait pelaksanaan solat Jumaat DAN AZANdi sebuah surau di Ampang yang tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata suspek berusia 46 tahun itu ditahan di sekitar Pandan Indah, Ampang pada kira-kira 3 petang tadi, selain turut merampas sebuah komputer riba, telefon bimbit dan beberapa dokumen bagi siasatan lanjut.
“Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan air kencing adalah negatif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau dalam kenyataan sama menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu proses siasatan, dan menggugat ketenteraman awam
“Pihak polis tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang tindakan yang cuba mencetuskan provokasi melampau sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat di negeri ini,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebelum ini, media melaporkan Polis telah mendaftarkan nama seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam isu petisyen azan di Ampang, ke dalam senarai pekeliling khas bagi menghalang individu berkenaan meloloskan diri ke luar negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial